X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Harimau Selatan mahu balas dendam

Harimau Selatan mempunyai misi penting untuk membalas dendam terhadap skuad Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada Sabtu.
A
A

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai misi penting untuk membalas dendam terhadap Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada Sabtu.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, pasukan itu masih terluka dengan kekalahan kepada TFC dalam aksi pusingan pertama liga di Stadium Sultan Ibrahim pada April lalu.

“Kami kena kekalkan mentaliti dan semangat melawan kami. Apabila anda telah menjadi juara dan setelah anda capai sasaran, kadang-kadang minda boleh memainkan 'trick' sama ada menjadikan kami lebih motivasi atau sebaliknya.

“Tetapi, seperti yang saya banyak kali katakan, kami mahu teruskan rentak kemenangan. Perlawanan di Terengganu juga akan jadi istimewa kerana kami mahu membalas dendam kekalahan kami kepada mereka.

“Mereka menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan kami dalam saingan liga dan kami akan ke sana dengan kekuatan penuh untuk cuba melakar kemenangan,” katanya.

Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada April itu, pemain sayap TFC, Mohamad Hakimi Abdullah mencetuskan sensasi dengan jaringan tunggalnya memastikan skuad Penyu melakar kemenangan bermakna 1-0 ke atas skuad Harimau Selatan itu.

Malah, kemenangan itu juga meleburkan rekod tanpa kalah JDT dalam 21 perlawanan dan juga kekalahan pertama mereka di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain berjanji pasukannya akan memberikan yang terbaik selain melakukan persiapan rapi untuk menghadapi cabaran juara Liga Super itu.

“Sudah tentu setiap kali bermain, kami mahu tiga mata dan kami akan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Selepas itu, baru kita tengok keputusan, kalau ada rezeki ada lah untuk kita meraih tiga mata.

“Saya sentiasa katakan kepada pemain perkara yang amat penting adalah persembahan. Kalau kalah tetapi bermain dengan bagus, saya tetap berpuas hati,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!