KBS tubuh jawatankuasa siasat pembatalan kemenangan Ziyad

Ahmad Faizal (tengah) ketika sidang akhbar selepas selesai menyambut empat atlet paralimpik negara di KLIA, Sepang pada Jumaat.
Ahmad Faizal (tengah) ketika sidang akhbar selepas selesai menyambut empat atlet paralimpik negara di KLIA, Sepang pada Jumaat.
A
A
A

[DIKEMASKINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman berkaitan pembatalan penyertaan dan kemenangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2022.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa tersebut akan diselia oleh Majlis Sukan Negara dengan penglibatan keanggotaan bebas.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dolah iaitu mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

"Ahlinya adalah mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia, Mohd Manshahar Abdul Jalil" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai menyambut empat atlet paralimpik negara di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat.

Ahmad Faizal berkata, tugasan jawatankuasa tersebut antaranya adalah menetapkan skop serta bidang tugas jawatankuasa siasatan.

"Kedua menetapkan kaedah pengumpulan maklumat. Ketiga memanggil dan menemuramah individu-individu yang boleh membantu siasatan.

"Keempat mendapatkan bahan atau dokumen yang boleh membantu siasatan. Kelima, mengenal pasti isu dan kelemahan yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Yang terakhir mengemukakan laporan siasatan dan cadangan penambahbaikan kepada KBS dalam tempoh yang akan ditentukan," jelasnya.