Maklumat siasatan SPRM bocor: Segerakan siasatan dalaman

Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Azliana
Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Azliana
A
A
A

SHAH ALAM - Permasalahan kebocoran maklumat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi memastikan tiada isu ‘komplot’.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berkata, sebarang siasatan yang dijalankan oleh SPRM sepatutnya tidak boleh diuar-uarkan kepada media selagi belum selesai.

“Seperti yang termaktub dalam kod etika agensi itu, setiap anggotanya tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat kepada pihak lain.

“Jika SPRM mendapati ada individu yang menjadi dalang dalam isu ini tindakan tatatertib harus diambil dan laporan polis juga perlu dibuat supaya suspek didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Wan Azliana, ia sangat penting kerana jika tiada tindakan diambil, seolah-olah tiada apa yang berlaku dan dalang terhadap kebocoran maklumat terus bebas selain mengundang lebih ramai lagi individu akan melakukan hal sama.

Tambah beliau, tindakan berkenaan penting bagi mengelakkan sebarang spekulasi daripada masyarakat terhadap agensi itu yang mungkin dianggap sebagai alat politik.

“Agensi ini sepatutnya menjalankan kerjasama dengan pihak polis bagi mengelakkan berlakunya isu orang dalam yang menjadi punca kebocoran maklumat.

“Seperti kes aktiviti judi dalam talian sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM berkongsi maklumat siasatan bagi menentu sahkan serta menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan,” ujarnya.