KBS yakin jawatankuasa RTG tangani isu Azizulhasni secara baik

Laporan Sinar Harian. Adam Adli (kanan).
Laporan Sinar Harian. Adam Adli (kanan).
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) yakin isu ketidakpuasan hati yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, akan ditangani sebaik mungkin jawatankuasa program Road to Gold (RTG).

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, jawatankuasa itu telah dipertanggungjawabkan bagi mendengar segala permasalahan dikemuka mana-mana atlet yang berada di bawah program tersebut, dalam misi memburu emas Sukan Olimpik.

"KBS mendengar dan kita memahami perkara yang diluahkannya (Azizulhasni). Perkara ini sedang dibincangkan serta akan dikendalikan terutama sekali oleh RTG, menerusi koordinator programnya Datuk Stuart Ramalinggam.

"Beliau antara yang bertanggungjawab dan memang tujuan RTG diperkenal untuk kita teliti sebarang masalah ataupun cabaran dalam misi meraih emas di Sukan Olimpik. Justeru, Datuk Azizulhasni selaku individu yang diletakkan harapan, kita nak yang terbaik buat beliau,” katanya kepada Bernama bagi mengulas isu dibangkitkan Mohd Azizulhasni di laman Facebook rasminya hari ini.

Adam Adli berkata demikian pada majlis pengenalan pasukan e-sukan pertama dibarisi pempengaruh dan selebriti, CRIT MVP, di sini hari ini.

Antara yang membarisi pasukan itu termasuk Muna Shahirah Munadi, Amir Asyraffudin Abd Aziz, Siti Khadijah Subir dan Muhd Afiq Abdul Aziz.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.

Pelumba dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman itu berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.

Atlet berusia 35 tahun itu, yang memenangi pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, berkata walaupun beliau menerima keputusan MSN untuk memindahkan pusat latihan dengan hati terbuka, namun kepulangannya ke tanah air telah tidak disertai dengan sistem sokongan lengkap dan bertaraf dunia. - Bernama