Apa erti keputusan PRK Semenyih?

No Image Caption
A
A
A

PRK DUN Semenyih berkesudahan dengan kemenangan yang berpihak kepada BN. SPR telah membuat pengumuman rasmi seperti berikut:

BN Zakaria Hanafi 19,780

PH Aiman Zainali 17,866

PSM Nik Aziz Hafiz 847

Bebas Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) 725

Jumlah pengundi:

Melayu 67.71%

Cina 16.69%,

Artikel Berkaitan:

India 13.73 %

Lain-lain 1.86%

Undi Rosak: 650

Peratus Keluar Mengundi: 63.24%

Majoriti: 1,914

Perbandingan sepintas lalu dengan keputusan PRU14:

PH Mohd Bakhtiar Mohd Nor 23,428

BN Datuk Johan Abd. Aziz 14,464

Pas Mad Shamour Mad Kosim 6,966

PSM S. Arutchelvan 1,293

Jumlah pengundi: 53,257

Jumlah Undi:

Undi Rosak: 546

Peratus Mengundi: 87.90%

Majoriti: 8,964

(Jika kita tolak undi yang Pas perolehi pada PRU14, kelebihan PH ialah kurang lebih 2,000 undi sahaja)

Penyandang PRU13: Datuk Johan Aziz (BN) Majoriti: 4,757

Apakah keputusan PRK Semenyih tersebut di atas sudah dijangkakan atau di luar jangka?

Jangkaan dan ramalan pemerhati politik

Pengulas dan pemerhati negara memperakui dari awal-awal lagi bahawa PRK DUN Semenyih adalah sengit dan getir bagi PH dan BN. Pun begitu, kebanyakan dengan tepat telah meramalkan BN akan menang tipis.

Tan Sri Shahril Samad, pemimpin kanan UMNO dalam temubual dengan The Star menyebut bahawa PRK DUN Semenyih tidak semudah PRK Parlimen Cameron Highlands.

Datuk Seri Redzuan Yusoff, pemimpin kanan Bersatu pula mengakui bahawa pada awalnya peluang PH untuk menang agak mencabar tetapi perkembangan dan sokongan pengundi pada hari-hari akhir kempen membuanya rasa lebih optimistik.

Kajian yang paling terperinci dibuat oleh Ilham Centre. Mengikut dapatan kajian yang dilakukan secara tatap muka membabitkan 378 responden meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti di DUN Semenyih, Ilham Centre membuat kesimpulan bahawa BN akan meraih kemenangan.

Jadi pada keseluruhanya bolehlah kita katakan keputusan PRK DUN Semenyih menepati ramalan awal pemerhati politik termasuk badan kajian seperti Ilham Centre. Ertinya keputusan tersebut tidaklah mengejutkan kita yang mengikut perkembangan politik negara dengan penuh prihatin.

Perlu diperkatakan di sini bahawa kebanyakan pengulas dan pemerhati politik menganggarkan majoriti yang bakal diperolehi oleh BN tidak akan melebihi 1,000 undi.

Maka hakikat bahawa BN telah mencatat majoriti hampir 2,000 adalah sesuatu yang di luar jangka. Ianya wajar dikaji dengan teliti, khususnya oleh PH mengapa begitu ketara sekali pengundi menolak mereka!

Faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan

Mengikut hemat penulis, antara faktor-faktor utama yang telah mempengaruhi keputusan adalah seperti berikut:

(1) PH gagal mempertahan undi Melayu. Undi Cina dan India kekal

PH dilihat telah gagal untuk mempertahankan undi Melayu yang mereka perolehi pada PRU14. Daripada awal lagi ramai yang memperhitungkan bahawa faktor ini akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan atau kekalahan PH.

Keputusan PRK Semenyih membawa maksud bahawa ramai pengundi-pengundi Melayu yang dahulu menyokong PH telah kembali menyokong BN.

(2) Strategi PH kurang mantap

Strategi PH juga dikira kurang mantap dan berkesan. Mereka memilih calon yang muda yang tiada pengalaman politik, terjebak dengan masalah kelayakan akademik yang meragukan dan yang sering membuat kenyataan yang kurang matang. Calon lawan sudah berumur 50 tahun dan mempunyai cukup pengalaman dalam bidang politik.

(3) Isu nasional mempengaruhi sikap pengundi

Keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi dan kian melambung terus menghantui sikap dan sentimen pengundi. Kegagalan PH untuk menunaikan banyak janji-janji pilihan raya membuat ramai rakyat rasa terkilan dan kecewa. PH memberi dan membuat terlalu banyak janji manis yang akhirnya memakan diri sendiri. Integriti beberapa pemimpin PH yang membuat dakwaan palsu atau meragukan tentang kelayakan akademik mereka ikut dipersoalkan. Perbalahan dan pergeseran sesama sendiri dalam parti komponen PH yang tak surut-surut juga menjengkelkan rakyat.

(4) Kerjasama UMNO Pas membawa hasil

Kerjasama di antara UMNO dan Pas membawa hasil yang baik kepada mereka. Walaupun Pas telah membuat ragam pada awalnya dengan cuba bermain politik dengan Tun Dr Mahathir tetapi pada keseluruhannya mereka dapat mengekalkan kerjasama yang baik diantara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen.

Kerjasama ini menjanji sesuatu yang perlu dibina dan diperakasakan oleh kedua-dua parti tersebut jika mereka ingin memberi cabaran yang sengit dan getir kepada PH seterusnya sehingga PRU14.

(5) Faktor bossku

Datuk Seri Najib Tun Razak terus mendampingi rakyat dan pengundi Semenyih. Daripada reaksi serta sambutan yang diberi kepadanya, maka jelas 'bossku' bukan sahaja popular dalam kalangan rakyat tetapi diterima mesra oleh mereka. Mengikut hemat ramai penulis, 'bossku' adalah pemimpin gagasan BN Pas yang paling popular di Semenyih.

Erti keputusan PRK DUN Semenyih kepada percaturan politik negara:

PH perlu bermuhasabah diri dan membaiki diri serta meningkatkan prestasi. PH perlu mengakui kegagalan mereka memenuhi janji-janji pilihan raya, gagal menangani masalah ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi dan masalah perbalahan dalaman dan menteri-menteri Kabinet yang lembab dan bermasalah. Penggubal-penggubal manifesto pilihan raya PH jelas begitu amatur, tidak bijak dan kurang pengalaman apabila memuatkan berbagai janji yang sukar dilaksanakan. Akhirnya janji manis memakan diri.

Di samping itu wujud rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan rakyat, khususnya dalam masyarakat Melayu yang merasakan kerajaan PH telah gagal melindungi kepentingan Melayu dan kedudukan agama Islam di negara ini. Kerajaan PH dilihat terlalu tunduk kepada tekanan parti atau pemimpin parti komponen bukan Melayu.

Apa seterusnya?:

Kekalahan PH di PRK DUN Semenyih akan memberi suntikan semangat yang kuat kepada BN dan Pas dalam perjuangan mereka untuk menumbangkan PH pada PRU15.

Ia akan menjadi satu kemenangan moral yang akan memberi modal yang kuat untuk mereka mendakwa bahawa PH sudah kehilangan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Mereka akan terus mendesak dan mengasak agar rakyat terus menolak PH.

Kekalahan PH di PRK DUN Semenyih tidak pula bererti segalanya sudah berakhir untuk PH. Malah ia boleh menjadi satu hikmah yang tersembunyi kepada PH (a blessing in disguise) jika ia diterima dengan sikap yang positif.

Jika ia dapat diterima oleh PH sebagai amarah awal (early warnings) untuk mereka bermuhasabah dan membaiki diri, maka ianya boleh menjadi pencetus untuk parti-parti komponen serta pemimpin-pemimpin mereka lebih prihatin, akur dan insaf dengan tuntutan rakyat.

Semasa PH kalah di PRK Cameron Highlands, mereka mungkin mengambil sikap bahawa ia adalah sesuatu yang tidak mengejutkan setelah mengambil kira sejarah dan kedudukan Parlimen tersebut. Mereka mengalihkan perhatian bahawa PRK DUN Semenyih akan memberi gambaran yang sebenar tahap sokongan rakyat.

Jadi sekarang pengundi Semenyih sudah membuat pilihan.

Jika ianya memberi gambaran yang lebih tepat tentang sentimen rakyat jelata, maka ertinya sudah tiba masanya untuk PH membuka mata, menerima hakikat yang nyata, mengakui realiti politik semasa dan bertindak secara berkesan untuk menangani dan mengatasi masalah.