Cedera ditetak lelaki kurang siuman guna parang

Suspek berjaya diberkas di dalam belukar di belakang sebuah stesen minyak di Taman Sri Sentosa di sini pada Rabu.
Suspek berjaya diberkas di dalam belukar di belakang sebuah stesen minyak di Taman Sri Sentosa di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga asing cedera dikelar seorang lelaki disyaki kurang siuman dalam insiden pergaduhan di Taman Sri Sentosa di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, dalam kejadian jam 8.20 malam itu, suspek yang juga warga asing telah menggunakan parang menetak mangsa.

"Suspek kemudian terus melarikan diri ke arah semak di belakang dewan di lokasi kejadian.

"Mangsa berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan serius di pipi, leher dan siku sebelah kiri badan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, polis berjaya memberkas suspek berusia 31 tahun itu di kawasan belukar di belakang sebuah stesen minyak kira-kira 800 meter dari tempat kejadian pada jam 10 malam.

"Polis turut merampas barang kes berupa pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian.

"Kita turut mendapat bantuan kepakaran daripada Unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia dan pihak forensik di lokasi kejadian untuk mengesan parang tersebut, namun ia masih belum dijumpai," katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih belum dapat dipastikan kerana mangsa dan suspek tidak memberikan kerjasama dan enggan bercakap.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah direman bermula hari ini hingga hingga 16 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.