KeTSA tidak setuju tindakan kerajaan Selangor nyahwarta HSKLU

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) tidak bersetuju terhadap tindakan kerajaan Selangor yang menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) terutama di peringkat awal cadangan.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak kementerian juga telah mengemukakan bantahan kepada kerajaaan Selangor berhubung pewartaan keluar HSKLU tahun lalu.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli negara, kementerian ini memandang berat dan mengambil perhatian terhadap pewartaan keluar HSKLU yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

“Ini kerana sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan di Selangor adalah pada 31.74 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Malaysia sentiasa memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa.

Pemeliharaan kawasan berhutan adalah penting disebabkan oleh peranannya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, pihaknya turut mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan hutan di Selangor terus dilindungi dan dipulihara.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Selangor diharap memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab, malah mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan selain mematuhi semua syarat yang ditetapkan Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat orang asli,” ujarnya.