MDEC salur RM5.52 juta kepada 45 penerima geran

No Image Caption
A
A
A

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyalurkan RM5.52 juta kepada 45 penerima empat program geran daripada pelbagai industri.

MDEC dalam kenyataan pada Khamis berkata, program-program itu terdiri daripada Geran Teknologi Global (GTG), Cabaran Pencipta Kandungan Digital, Geran Kandungan Digital dan Geran Automasi Pintar (SAG).

Menurutnya, pembayaran itu menandakan bahawa rangka kerja geran baharu itu telah selesai pada masa ini dan beroperasi sepenuhnya bagi membolehkan agensi itu menyediakan dana mencukupi kepada penerima yang layak dengan memberi penekanan kepada tadbir urus, ketelusan dan kepantasan.

“Pembayaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan ini akan mempercepatkan penerimagunaan digital dan kandungan kreatif digital, selanjutnya memacu trajektori positif ekonomi digital negara,” katanya.

Menurut agensi itu, GTG merupakan inisiatif untuk memupuk juara global dan ekosistem inovasi digital dengan menyokong penyelidikan dan pembangunan, memperkasa inovasi dan mewujudkan pusat kecemerlangan.

Program SAG adalah geran sepadan yang bertujuan membantu PKS dalam perkhidmatan industri terutamanya runcit, borong, makanan dan minuman, pelancongan dan logistik untuk meningkatkan dan menambah baik perniagaan melalui alatan digital.

Cabaran Pencipta Kandungan Digital (sebelum ini dikenali sebagai Cabaran Pencipta Harta Intelek dan Ekosistem Kandungan Digital) adalah platform untuk syarikat kandungan digital tempatan yang terlibat dalam animasi, permainan video dan komik digital untuk mengasah kreativiti mereka dan mempercepatkan pembangunan dan pengkomersialan kandungan digital.

Geran Kandungan Digital pula merupakan inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (Penjana) yang dilaksanakan untuk menyokong syarikat kandungan digital tempatan di negara ini dalam pembangunan dan pemasaran kandungan mereka.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan bagi GTG 2021 dibuka mulai 26 Ogos hingga 15 September 2021 manakala SAG 2021 dimulakan sejak 26 Ogos dengan tempoh penyerahan selama empat minggu.

Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, rangka kerja geran baharu itu adalah berdasarkan model Input-Output-Hasil-Impak.

“Geran ini dilaksanakan menerusi akses yang mudah dan telus. Kesemua maklumat mengenai geran kami dibuat secara umum melalui media arus perdana dan media sosial kami bagi memastikan kami melibatkan kesemuanya, dari Perlis hingga ke Sabah,” katanya. - Bernama