Rayuan lucut hak jutaan ringgit milik UMNO, Wanita MCA ditolak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang jutaan ringgit milik UMNO dan Wanita MCA serta enam entiti lain.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik UMNO; Wanita MCA (RM300,000), Perano iaitu sebuah syarikat menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250; Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); Badan Perhubungan UMNO Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais juga membenarkan rayuan oleh Badan Perhubungan UMNO Pahang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada badan perhubungan UMNO negeri itu.

“Mahkamah mendapati hakim perbicaraan telah melakukan kesalahan dan mengabaikan fakta bahawa wang tersebut telah dibelanjakan, tidak ada lagi dan wang yang disita adalah daripada sumber lain dan merupakan wang yang sah.

"Oleh itu, kami membenarkan rayuan perayu (UMNO Pahang) dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi," kata Hakim Hadhariah ketika membaca keputusan ringkas dalam prosiding secara maya.

Wang itu yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Hadhariah berkata, aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam kes itu adalah aktiviti menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kes pendakwaan adalah wang yang diterima oleh responden daripada bekas Perdana Menteri itu adalah wang daripada 1MDB dan merupakan kesalahan yang dilakukan oleh Najib di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (kesalahan predikat).

Artikel Berkaitan:

"Hakim Mahkamah Tinggi telah mendapati afidavit yang disahkan oleh pegawai penyiasat bagi kesalahan predikat Seksyen 23 hanya mendedahkan pergerakan wang yang disimpan dan dipindahkan daripada akaun Datuk Seri Najib dan entiti lain dan tidak ada penegasan yang mencukupi untuk mengesahkan wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib adalah aktiviti yang menyalahi undang-undang," kata hakim itu.

Beliau berkata, walaupun wang yang diterima daripada Najib adalah daripada aktiviti tidak sah, Mahkamah Tinggi telah memutuskan dengan tepat bahawa wang tersebut masih tidak boleh dilucutkan kerana responden telah membuktikan wang yang Najib berikan antara 2012 dan 2013 telah dibelanjakan selepas tempoh lima tahun dan wang yang dirampas pada 2018 adalah daripada sumber lain yang sah.

"Pihak pendakwaan tidak mencabar penegasan responden. Tidak mungkin wang dalam akaun responden yang disita pada 2018 berasal daripada cek yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib. Pihak pendakwaan tidak mengenal pasti secara khusus wang dalam akaun responden yang sebenarnya adalah hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Mengenai rayuan berkaitan parti politik, hakim itu berkata, mahkamah mendapati tidak ada alasan untuk mengganggu penemuan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi.

"Berdasarkan bukti, hakim perbicaraan membuat kesimpulan bahawa mahkamah tidak berpuas hati di bawah Seksyen 56, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 bahawa wang yang dimohon untuk disita adalah bukti atau subjek berkaitan kesalahan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Kami mendapati tiada alasan yang baik untuk mengganggu penemuan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi. Oleh itu, kami menolak rayuan pendakwaan," katanya.

Bagi rayuan berkaitan entiti perniagaan, Hakim Hadhariah berkata mahkamah bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa wang yang diterima daripada Najib adalah pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan oleh responden (entiti perniagaan) kepadanya.

"Responden menyokong kes mereka dengan bukti dokumen seperti invois. Responden tidak mempunyai pengetahuan dan tidak ada alasan untuk mengesyaki wang yang mereka terima daripada Najib adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Oleh itu, kami menolak rayuan pihak pendakwaan terhap responden dan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Kamal Baharin Omar, Samihah Rhazali, Nik Haslinie Hashim, Mahadi Abdul Jumaat, Maziah Mohaide, Abdul Rashid Sulaiman dan Farah Yasmin Salleh.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan Syazwani Mohd Zawawi mewakili UMNO; Datuk Ben Chan dan Syazwani Mahmud mewakili Wanita MCA; Thevini Nayagam dan Habizan Rahman bagi pihak Perano dan K&Z Enterprise; G. Nadaraja mewakili Badan Perhubungan UMNO Kedah; Mohd Khalil Tajuddin bagi pihak Binsabi; Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar untuk UMNO Pahang; Mohd Shukri Ahmad Mansor bagi pihak Hattatex dan Khoo Guan Huat mewakili Habib Jewels.

Pada 21 Jun 2019, SPRM memfailkan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti termasuk UMNO bagi mendapatkan semula dana berjumlah kira-kira RM270 juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya berkata dana itu didakwa dipindahkan daripada akaun peribadi Najib.- Bernama