Pendapatan penghantar makanan merosot 50 peratus

Antara 100 penghantar makanan terima sumbangan makanan keperluan harian dalam program anjuran pengurusan Masjid Abu Ubaidah Seri Rampai, Setapak pada Selasa. Gambar kecil: Nurul Syahirah Abdul Halim
Antara 100 penghantar makanan terima sumbangan makanan keperluan harian dalam program anjuran pengurusan Masjid Abu Ubaidah Seri Rampai, Setapak pada Selasa. Gambar kecil: Nurul Syahirah Abdul Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghantar makanan di sekitar bandar raya ini mendakwa permintaan daripada pelanggan berkurangan hampir 50 peratus sejak 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dibenarkan beroperasi semula.

Rata-rata mendakwa, mereka menerima lebih 20 tempahan sehari sebelum aktiviti ekonomi dibuka pada 16 Ogos lalu, bagaimanapun jumlahnya terus merosot, malah di kawasan tertentu menerima kurang 10 tempahan sehari.

Salah seorang penghantar makanan, Nurul Syahirah Abdul Halim, 21, berkata, walaupun demikian, permintaan terhadap perkhidmatan itu masih ada.

Menurutnya, ketika ini dia masih menerima lima hingga 10 tempahan penghantaran makanan sehari.

Katanya, golongan penghantar makanan sepenuh masa mungkin terkesan tetapi ramai yang melakukan pekerjaan itu secara sambilan berikutan pekerjaan asal mereka terjejas disebabkan sektor ekonomi ditutup.

"Saya bawa Lalamove (untuk penghantaran makanan) dari Setapak. Memang pendapatan berkurangan selepas sektor perniagaan dibenarkan beroperasi. Tapi masih ada permintaan, maka dapatlah buat duit belanja sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Syahirah merupakan antara salah seorang daripada 100 penghantar makanan di sekitar Setapak yang menerima sumbangan makanan keperluan harian di Taman Seri Rampai, Setapak pada Selasa.

Sumbangan diagihkan sempena Program Amal Merdeka dan Majlis Penyerahan Sumbangan Covid-19 anjuran pihak pengurusan Masjid Abu Ubaidah Seri Rampai.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, bapanya mempunyai bengkel motor sendiri dan dia melakukan kerja penghantaran makan sepenuh masa untuk membantu keluarga.

Seorang lagi penghantar makana, Azman Yusoff, 32, berkata, kekurangan tempahan juga menyebabkan ramai penghantar makanan kembali kepada kerja lama mereka yang sudah boleh beroperasi semula.

"Ramai yang kembali kepada pekerjaan lama mereka sejak 16 Ogos lalu kerana pendapatan merosot. Ada antara kami sebelum ini merupakan tukang gunting rambut dan pembantu kedai," katanya kepada Sinar Harian.