Cuaca panas: Hasil tanaman cili, terung merosot 50 peratus

Gelombang haba yang melanda negara membelenggu petani-petani kecil sehinggakan golongan itu terpaksa berhadapan dengan pengurangan pendapatan dan kerugian.
Gelombang haba yang melanda negara membelenggu petani-petani kecil sehinggakan golongan itu terpaksa berhadapan dengan pengurangan pendapatan dan kerugian.
A
A
A

SHAH ALAM - Gelombang haba yang melanda negara membelenggu petani-petani kecil sehinggakan golongan itu terpaksa berhadapan dengan pengurangan pendapatan dan kerugian.

Petani yang mengusahakan tanaman cili dan terung, Mohamad Nazrullah Mohamad Ani, 29, berkata, hasil tanamannya seluas 1.2 hektar itu telah berkurang sebanyak 50 peratus akibat cuaca panas.

Ujarnya, kehangatan bahang itu menyebabkan kualiti buah merosot, hasil tanaman berkurang dan secara tidak langsung meningkatkan serangan serangga perosak.

Mohamad Nazrullah
Mohamad Nazrullah

“Saya berhadapan dengan masalah ini bermula dari Disember tahun lalu sehinggalah penghujung April dan keadaan itu benar-benar memberi kesan kepada pendapatan dan hasil tanaman.

“Sejujurnya saya begitu terkesan kerana pendapatan yang diperoleh tidak seberapa tetapi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk menjaga tanaman,” katanya.

Tambah Mohamad Nazrullah, dia terpaksa mengeluarkan wang sekali ganda untuk membeli racun serangga perosak.

Beritahu petani yang berasal dari Perlis itu, dia memperuntukkan wang sebanyak RM2,000 untuk membeli racun berkenaan.

“Jika saya tidak membeli racun itu, ia akan menyebabkan keseluruhan tanaman rosak dan keadaan ini akan menambah perbelanjaan untuk proses penanaman semula,” ujarnya.