Kegembiraan enam rakan mandi sungai bertukar tragedi

Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diteruskan pada Rabu.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diteruskan pada Rabu.
A
A
A

DUNGUN - Hasrat sekumpulan rakan menikmati percutian sempena Hari Kemerdekaan di sungai bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus dalam kejadian di Sungai Kampung Tok Kah di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Firdaus Afiq Che Yusof, 21, bersama lima lagi rakannya dipercayai mandi di sungai berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dua daripada mereka hanyut dibawa arus, namun seorang lagi mangsa berusia 20-an sempat diselamatkan rakan-rakan yang lain.

"Pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 3.50 petang sebelum mengerahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Operasi mencari mangsa disertai beberapa agensi termasuk polis, bomba dan orang awam yang dimulakan sejak semalam (Selasa) dan diteruskan lagi hari ini (Rabu)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, operasi SAR mangsa diteruskan bermula di Kuala Dungun menyusuri sungai ke lokasi kejadian.

"Operasi hari ini turut dibantu dua bot Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba," katanya.

Artikel Berkaitan: