Bekalan air di kawasan terjejas Selangor pulih sepenuhnya Jumaat

Pencemaran bau di LRA Sungai Semenyih menyebabkan gangguan bekalan air. Gambar hiasan.
Pencemaran bau di LRA Sungai Semenyih menyebabkan gangguan bekalan air. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di semua kawasan terjejas berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan insiden pencemaran bau sudah menerima bekalan air bersih secara berperingkat pada jam 7 pagi Rabu.

Menerusi aplikasi Air Selangor memaklumkan, pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas.

"Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat–peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam pada Jumaat," kata kenyataan itu pada Rabu.

Jelas kenyataan itu, Air Selangor telah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna," ujar kenyataan itu.

Justeru, kenyataan itu memberitahu, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan pengguna terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna boleh merujuk Jadual Pelan Pemulihan yang terperinci di www.airselangor.com, atau Instagram Instastory dan Facebook Story," katanya.

Terdahulu sebanyak 323,623 akaun di lima wilayah di Selangor mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.