Nasib lapangan terbang Kabul masih samar-samar

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai akan berada di bawah kawalan Taliban bermula Rabu. - Foto Agensi
Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai akan berada di bawah kawalan Taliban bermula Rabu. - Foto Agensi
A
A
A
WASHINGTON - Siapa yang akan mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul selepas pengunduran pasukan terakhir tentera Amerika Syarikat (AS)?

Perkara itu terus menjadi persoalan utama bukan hanya kepada pemerintah Taliban malah kepada negara Barat yang masih berharap proses pemindahan dapat dilanjutkan walaupun ia merupakan subjek yang kompleks untuk diperkatakan.

Bermula Rabu, ia akan berada di bawah kawalan penuh gerakan Taliban yang turut mengesahkan mereka sudah mara ke beberapa kawasan di kemudahan tentera di lapangan terbang itu sejak Jumaat lalu.

"Kami akan berangkat pada 31 Ogos. Bermula saat itu, kami mengembalikan semula lapangan terbang tersebut kepada rakyat Afghanistan," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price selepas ancaman keselamatan semakin meningkat di kemudahan itu berikutan ia menjadi sasaran serangan sejak minggu lalu.

Menurutnya, mengendalikan lapangan terbang bukan perkara yang sukar, namun beliau tidak menjangkakan operasi kembali normal bermula 1 September.

Difahamkan, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut menyuarakan idea tentang penutupan sementara lapangan terbang itu sehingga situasi benar-benar terkawal.

Blinken menegaskan 'masa depan' lapangan terbang utama itu adalah sangat penting bagi Taliban yang berjanji untuk mentadbir dengan lebih toleransi berbanding ketika era pemerintahan yang ultrakonservatif pada 1996-2001.

Tawaran kepada Turki

Keadaan teruk di dalam salah sebuah hangar di lapangan terbang itu. - Foto AFP
Keadaan teruk di dalam salah sebuah hangar di lapangan terbang itu. - Foto AFP

Artikel Berkaitan:

Tetapi, lapangan terbang itu juga amat penting buat negara Barat yang masih tidak dapat membawa keluar kesemua rakyat mereka selain ribuan sekutu warga tempatan yang gagal dipindahkan dalam operasi pemindahan secara besar-besaran diketuai AS sebelum 31 Ogos.

Sehingga kini, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memainkan peranan penting dalam mengawal lalu lintas udara, bekalan bahan api dan komunikasi manakala pasukan tentera dari Turki, AS, Britain dan Azerbaijan ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Ankara melihat ia mungkin berpeluang mengekalkan kedudukan mereka ketika tentera pakatan asing mula berundur dari Kabul.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mendakwa, Taliban menawarkan pilihan kepada Turki untuk mengendalikan logistik di kemudahan tersebut selepas perbincangan pertama pada Jumaat lalu.

"Kami akan membuat keputusan apabila keadaan kembali tenang," ujar Erdogan yang turut menyifatkan serangan pengeboman bunuh diri di pintu masuk lapangan terbang itu pada Khamis lalu jelas menunjukkan betapa sukar misi tersebut.

Difahamkan, Turki telah sekian lama merancang mengendalikan lapangan terbang itu, namun menolak idea itu pada minggu lalu apabila ia mula memanggil pulang kira-kira 500 anggota pasukan bukan tempur dari Afghanistan.

"Taliban mahu menguruskan kawalan keselamatan di kemudahan tersebut. Tetapi, apa yang perlu kami jelaskan kepada dunia jika satu lagi serangan berdarah berlaku di sana. Ia bukan tanggungjawab yang mudah," katanya lagi.

Ketika serangan menggemparkan itu, lebih 100 termasuk 13 anggota tentera AS terkorban sewaktu usaha pemindahan dipergiatkan pada Khamis lalu berikutan kebanyakan negara mula menamatkan operasi lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan.

Bantuan kemanusiaan

Taliban memberi jaminan warga Afghanistan yang mempunyai dokumen perjalanan sah diberi kebebasan untuk keluar dan masuk ke negara itu. - Foto AFP
Taliban memberi jaminan warga Afghanistan yang mempunyai dokumen perjalanan sah diberi kebebasan untuk keluar dan masuk ke negara itu. - Foto AFP

Ketika ini, sekutu NATO berusaha memastikan 'pintu masuk utama' ke Afghanistan itu kekal dibuka untuk menerima bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan di negara itu yang kini dilanda musim kemarau kedua dalam tempoh empat tahun selain hampir separuh daripada 18 juta populasi bergantung kepada sumber tersebut untuk meneruskan hidup.

Program Makanan Sedunia (WFP) yang mengendalikan Perkhidmatan Udara Kemanusiaan PBB merancang melancarkan semula penerbangan bagi mewujudkan 'jambatan udara' ke Afghanistan bermula minggu ini.

"Ia akan melibatkan penerbangan dari Pakistan ke beberapa lapangan terbang di luar Kabul seperti Kandahar dan Mazar-i-Sharif," kata jurucakapnya, Stephane Dujarric sambil menambah masih tidak jelas apa yang akan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai selepas 31 Ogos.

Menurutnya, Taliban memikul tanggungjawab besar untuk memastikan lapangan terbang itu terus berfungsi dengan pelaksanaan kawalan keselamatan.

Pada minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bekalan ubat-ubatan di Kabul semakin berkurangan dan bakal kehabisan dalam tempoh beberapa hari lagi selepas WFP mendedahkan jutaan penduduk di negara itu berada di ambang kebuluran.

"Lapangan terbang di Kabul tidak akan menjadi pilihan kami buat masa ini atas kebimbangan keselamatan dan beberapa pertimbangan lain," ujar Pengarah Kecemasan Serantau WHO, Rick Brennan.

Ketika ini, gerakan Taliban dikatakan sangat berharap untuk melihat bantuan kemanusiaan yang terhenti sejak beberapa minggu lalu akibat situasi huru-hara di lapangan terbang tersebut kembali dihantar ke Kabul. - Agensi