Pertandingan Pidato Rukun Negara terjemah pendekatan Keluarga Malaysia

Ali Rustam
Ali Rustam
A
A
A

ALOR GAJAH - Hari ini genap 64 tahun Malaysia menyambut Hari Kebangsaan atau hari ia memperoleh kemerdekaan daripada British, yang mewarisi penjajahan seluruh Tanah Melayu bermula dengan penguasaan Portugis ke atas Melaka pada 1511.

Sinonim dengan gelaran Bandaraya Bersejarah, Melaka tidak mahu ketinggalan dalam turut meraikan sambutan hari bersejarah ini, walaupun dalam suasana negara berhadapan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan, ekonomi goyah dan lebih buruk lagi, banyak nyawa menjadi korban akibat dijangkiti virus itu.

Sejarah mengajar Melaka, untuk menghargai kepentingan menjiwai semangat patriotisme dengan sentiasa menunjukkan taat setia kepada raja dan negara, serta mendokong Keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara yang berusia lebih 50 tahun dan seharusnya sebati dalam jiwa setiap warga Malaysia.

Dalam mendokong lima prinsip Rukun Negara itu, Melaka mengorak langkah menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan bagi merebut Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka.

Penganjuran pertandingan itu, adalah hasil kejayaan Melaka menganjurkan pertandingan seumpama itu pada peringkat negeri tahun lepas, atas daya usaha dan sokong TYT Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang beliau sendiri telah memupuk nilai dan sifat patriotisme pada dirinya.

Bagi Datuk Ismail Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Pidato peringkat kebangsaan ini, pertandingan tahun ini mampu membantu menterjemahkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memperkasakan pendekatan 'Keluarga Malaysia'.

“Jurang perpaduan dalam kalangan rakyat dilihat semakin bergolak kerana kepelbagaian ideologi, pandangan serta kurangnya kefahaman serta penghayatan, terhadap prinsip Rukun Negara.

“Melalui penghayatan prinsip Rukun Negara, ia akan dapat membantu dalam mengeratkan hubungan sesama rakyat, yang membolehkan kita semua hidup bersama dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung yang sama, tidak kira sama ada dari kaum atau status yang berbeza,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bertemakan ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’, pertandingan kali ini melibatkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institusi Pengajian Tinggi, Bukan Melayu dan Awam, yang menawarkan hadiah bernilai antara RM300 hingga RM5,000 bagi setiap kategori.

Hampir 1,000 penyertaan telah diterima, dan sesi saringan berlangsung daripada 9 hingga 13 Ogos, manakala sesi separuh akhir telah berlangsung pada 16 hingga 17 Ogos, dengan pertandingan akhir dijangka diadakan pada 16 September bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia.

Berikutan pandemik Covid-19, penyertaan dibuat menerusi tayangan video berdurasi 10 minit dan setiap peserta diadili oleh pakar dan ahli akademik tersohor negara, mengikut kategori yang dipertandingkan.

Pertandingan ini tertumpu kepada dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan Keluhuran Perlembagaan, yang diharap dapat menyuburkan kembali semangat patriotisme dan sayangkan negara dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Bagi Ismail yang juga Exco kerajaan negeri, pertandingan ini mendedahkan peserta dan penonton kepada ilmu dan kefahaman, mengenai prinsip rukun negara dalam pelbagai aspek, tetapi mempunyai maksud dan terjemahan kepada satu perkara yang sama.

“Saya berharap generasi muda dapat menghayati prinsip Rukun Negara, agar dapat membentuk jati diri rakyat Malaysia yang sayang dan cintakan negara, dan seterusnya memperteguhkan lagi perpaduan dalam menzahirkan konsep 'Keluarga Malaysia', kerana kita adalah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

“Setiap daripada kita adalah seperti keluarga sendiri, sama ada anak muda mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” katanya.

Bagi Ismail, Rukun Negara adalah falsafah, ideologi dan etika kebangsaan, yang merupakan satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat, mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek kehidupan bernegara, sekali gus menjadi satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara.

Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong IV, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970, dan ia seharusnya diterima sebagai usaha untuk dijadikan prinsip hidup semua lapisan masyarakat, yang dapat menjamin perpaduan dan keharmonian negara.

Ismail berkata, Kementerian Perpaduan Negara, telah memperkenalkan Dasar Perpaduan Negara yang menggariskan tiga objektif utama iaitu, mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan. - Bernama