Ekonomi pasca pandemik: Cabaran rakyat capai 'kemerdekaan'

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengorbanan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara perlu dijadikan inspirasi oleh rakyat Malaysia yang ketika ini sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Terengganu, Noorazlina Ahmad berkata, 'penjajahan' kali ini tidak memerlukan rakyat Malaysia mengangkat senjata di medan perang sebaliknya perlu mengatur strategi untuk memajukan ekonomi keluarga agar tidak jatuh di bawah kelompok kemiskinan.

Beliau berkata, cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19 sangat getir untuk rakyat Malaysia walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan sejak tahun lepas.

"Krisis ekonomi sangat teruk dan ini terbukti dengan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menyusut sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun 2020.

"Oleh itu, setiap individu sama ada kategori T20, M40 atau B40 bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing untuk memacu semula pertumbuhan ekonomi negara.

Inilah perjuangan kita untuk Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Noorazlina berkata, antara pengorbanan yang boleh dilakukan rakyat Malaysia ialah melepaskan aset berlebihan atau barangan bukan keperluan yang menjadi beban kewangan selama ini iaitu mengurangkan komitmen bulanan.

Wang tersebut boleh disimpan dalam tabungan tunai atau dijana dalam kitaran ekonomi negara dengan membantu jualan usahawan IKS (industri kecil dan sederhana) serta peniaga mikro tempatan.

Artikel Berkaitan:

Pendapat sama turut dipersetujui rakan sejawatnya, Nur Azwani Mohamad Azmin yang berharap rakyat Malaysia terus fokus dalam memperkukuhkan ekonomi dengan memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan serta kemudahan teknologi digital yang canggih ketika ini.

"Berusahalah untuk menambah pendapatan sampingan keluarga.

Cari mentor sekiranya mahu memulakan perniagaan atau menceburi bidang keusahawanan. Kurangkan pinjaman peribadi baharu dan pembelian kereta baharu.

"Pembelian emas perhiasan baharu juga perlu dikurangkan kerana ia agak sukar dicairkan terutama di waktu kecemasan yang memerlukan tunai.

Inilah antara pengorbanan yang boleh dilakukan rakyat Malaysia untuk sementara waktu sehingga ekonomi dunia kembali pulih," katanya.

Tambahnya, jika tidak mampu menambah pendapatan sampingan keluarga, usahakan untuk berjimat cermat mengikut kesesuaian cara hidup, keperluan, desakan, kebolehan dan cabaran kerana situasi ekonomi setiap individu adalah berbeza.

"Golongan T20 dan M40 misalnya lebihkan berbelanja dalam negara untuk jana rantaian ekonomi IKS dan peniaga mikro manakala B40 terus bangkit dengan bimbingan perniagaan yang disediakan kerajaan. Pasti kita semua mampu keluar dari kemelut ekonomi yang melanda," katanya. - Bernama