Kita belum merdeka daripada Covid-19

Malaysia Prihatin kekal sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Malaysia Prihatin kekal sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Hari ini genap 64 tahun kita bebas daripada cengkaman penjajah.

Dalam keghairahan meraikan sambutan hari kemerdekaan negara, perlu diingatkan bahawa kita masih belum ‘merdeka’ dalam berperang dengan musuh halimunan pandemik Covid-19 yang telah meragut 16,087 nyawa dengan hampir dua juta orang dijangkiti sejak Mac tahun lalu.

Jika dilihat kepada angka kes positif harian yang masih tinggi dengan 20,579 kes baharu yang dicatatkan sehingga Ahad, agak sukar untuk kita membebaskan diri daripada belenggu pandemik global dalam masa terdekat.

Begitupun melalui pelbagai usaha kerajaan dalam membendung wabak berbahaya ini bermula dengan prosedur operasi standard (SOP) sehinggalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah menunjukkan ‘sinar’ bahawa situasi Covid-19 di negara ini kini semakin baik.

Lebih menggembirakan apabila jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di beberapa hospital di Lembah Klang menunjukkan penurunan ketara sekali gus membuktikan keberkesanan usaha yang dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Menurut Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Dr Shahabuddin Ibrahim, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan oksigen di MAEPS telah berkurang sehingga lima kali ganda berbanding sebulan lalu.

Katanya, trend penurunan positif itu berlaku sejak tiga ke empat minggu lalu dengan jumlah pesakit memerlukan bantuan oksigen hanya 109 orang berbanding 525 orang sebelum ini.

Bersemangat

Artikel Berkaitan:

Penurunan positif itu, katanya, membuktikan keberkesanan pelaksanaan program PICK dan berharap semua pegawai serta kakitangan sentiasa terus bersemangat untuk memerangi pandemik itu.

Di Selangor pula, kadar penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 turut menurun sehingga 35 peratus setakat Ahad.

Berdasarkan data Bilik Gerakan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi tempoh bermula 1 Ogos lalu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, BOR pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan 35 peratus dalam masa 28 hari pada Ogos.

“BOR pesakit Covid-19 pada 1 Ogos adalah sebanyak 101 peratus, manakala pada 28 Ogos menurun kepada 65 peratus.

“Ini kadar secara keseluruhan di hospital Kementerian Kesihatan di Selangor,” katanya.

Malah beliau berkata, pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang juga menunjukkan penurunan sebanyak 46.6 peratus sehingga 20 Ogos lalu.

Bukan itu sahaja, jumlah mereka yang menerima suntikan vaksin melalui PICK di 672 lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) turut mencatatkan angka memberangsangkan dengan 19,389,392 individu telah menerima dos pertama dan 21,336, 654 individu telah mendaftar di MySejahtera setakat Ahad.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan bahawa tiada jalan yang boleh mengatasi penularan Covid-19 selain pengambilan vaksin.

Jelasnya, dengan hanya mengambil suntikan vaksin maka seseorang individu itu akan dilindungi daripada kesan buruk akibat Covid-19.

Justeru, setiap rakyat harus berfikiran bahawa pandemik ini adalah sesuatu yang serius dan bukan perkara yang remeh.

Perkembangan positif usaha memutuskan rantaian Covid-19 wajar dipertahan dan dipertingkatkan lagi dengan menjadikan semangat merdeka sebagai perisai untuk melindungi diri dan lindungi semua ke arah negara bebas Covid-19.

Kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) sama ada dalam aspek aktiviti sosial mahu pun ekonomi tidak boleh diambil mudah dan alpa memandangkan negara turut berdepan dengan varian baharu Covid-19 yang semakin mengganas dan mengakibatkan jumlah kes kematian yang tinggi.

Kita masih belum merdeka daripada pandemik Covid-19, ayuhlah sama-sama mengembleng tenaga dan usaha dalam membentuk ‘Keluarga Malaysia’ bebas Covid-19 dengan meneruskan semangat ‘Malaysia Prihatin’ sesama kita.

* Zubir Sulaiman ialah Penyunting Sinar Harian