Bekas banduan berang adik jadi saksi pendakwaan kes lampau

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan seorang lelaki yang mengugut mahu menetak dan membunuh adik kandungnya berikutan rasa tidak berpuas hati, membawa padah apabila dia ditahan polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superientendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 10 malam itu, suspek berumur 36 tahun ke rumah adik lelakinya berumur 33 tahun di Taman Kenari, Kulim dalam keadaan marah sebelum menimbulkan kekecohan.

"Suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau bertindak menampar pipi adiknya sebanyak dua kali dan apabila perbuatannya ditegur, beliau bertindak agresif dan mahu menetak dan membunuh mangsa dengan menghayun parang berukuran 19 inci ke arah mangsa.

"Pada ketika itu, sekumpulan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang sedang menjalankan operasi di kawasan berhampiran, terdengar jeritan mangsa. Sampai di tempat kejadian mereka melihat suspek sedang melibas parang ke arah mangsa di dalam kawasan pagar rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota polis terbabit mengarahkan suspek meletakkan parang dipegang dan berjaya menahan suspek kira-kira 10 minit kemudian sebelum membawa suspek ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek yang baru dibebaskan dari penjara tiga hari lalu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dan berdendam dengan adiknya kerana menjadi saksi dan memberi keterangan berkaitan kes lampau suspek.

"Suspek ditahan reman empat hari bermula semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: