Kemenangan suntik semangat Skuad Projek FAM-MSN

Barisan pemain Skuad Projek FAM-MSN meraikan kemenangan ke atas Kelantan United FC di Kota Bharu pada Ahad.
Barisan pemain Skuad Projek FAM-MSN meraikan kemenangan ke atas Kelantan United FC di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan kemenangan pertama yang diraih ke atas Kelantan United FC pada Ahad menyuntik motivasi tinggi anak-anak buahnya untuk terus berjuang dalam baki dua aksi Liga Premier.

Yusri berkata, meskipun hanya berbaki dua perlawanan lagi, ia tidak menghalang skuad kendaliannya memburu mata penting dalam aksi akan datang menentang Perak FC II dan Kuching City FC.

“Syukur atas kemenangan pertama musim ini dan kita datang ke sini (Kota Bharu) dengan sasaran untuk tidak bolos banyak gol kerana semua tahu dalam perlawanan terdahulu, kita selalu tewas dengan jaringan besar.

“Perjalanan untuk pusingan kedua liga ini banyak peningkatan. Tidaklah terlalu bagus sangat tetapi saya boleh nampak pemain ambil peluang yang ada untuk menjaringkan gol dan ia hadir betul-betul dalam keadaan yang amat kami perlukan.

“Saya harap kemenangan ini dapat beri lebih motivasi untuk mereka berjuang kerana sebelum ini mereka tidak mampu untuk mengatakan yang mereka boleh menang, tetapi kali ini kita dapat menang,” katanya.

Kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu amat bermakna buat Skuad Projek FAM-MSN selepas mereka bergelut dalam 17 perlawanan terdahulu dan berada di tangga tercorot Liga Premier.

Azhad Harraz Arman muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-77, sekali gus 'memadam' seketika rekod 14 kekalahan dan tiga kali seri yang dicatat Skuad Projek FAM-MSN sebelum itu.

Pengendali Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor pula mengakui terkejut dengan aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya sambil menyifatkan mereka tidak berdisiplin di atas padang.

Artikel Berkaitan:

“Saya terkejut, pemain saya tidak berdisiplin terutamanya di barisan pertahanan, jadi inilah yang kami dapat. Pemain-pemain saya memandang rendah terhadap Skuad Projek FAM-MSN.

“Kami sepatutnya dah tahu yang mereka memang akan bermain lebih daripada 100 peratus, jadi inilah akibatnya. Saya akan buat rombakan kecil menjelang aksi menentang Kuching City nanti,” jelasnya.