'Transporter' bawa rokok seludup RM660,000 guna lori baja ditahan

Hassan Basri (kiri) dan Mat Shukor (kanan) memeriksa lori baja digunakan suspek untuk menyeludup rokok yang ditahan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Jumaat.
Hassan Basri (kiri) dan Mat Shukor (kanan) memeriksa lori baja digunakan suspek untuk menyeludup rokok yang ditahan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki yang juga 'transporter' menyembunyikan 880,000 batang rokok putih seludup di dalam sebuah lori baja untuk mengaburi penguat kuasa gagal apabila dicekup anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Rampasan rokok bernilai RM660,000 itu dilakukan pada jam 9 pagi selepas pasukan berkenaan menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tendong-Mulong di sini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hassan Basri Ahmad Safar berkata, pemeriksaan ke atas lori berkenaan yang turut disaksikan lelaki terbabit menjumpai sebanyak 88 kotak besar rokok putih disorokkan di bawah kanvas.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan sehelai kain kanvas dianggarkan berjumlah RM783,011," katanya pada sidang akhbar di Markas Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof.

Hassan Basri berkata, semakan mendapati suspek berusia 44 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menurutnya, suspek bagaimanapun positif dadah dan mengaku bertindak sebagai 'transporter' yang telah diarahkan untuk membawa barangan tersebut ke Johor.

Katanya, pihaknya turut menjumpai dokumen palsu digunakan bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

"Suspek turut mengaku melakukan kegiatan itu sejak Mac lalu dan kes di siasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 167," katanya.