Sumbangan SRI Al-Fateh berkurang, Econsave serah bakul rezeki

Devanathan (kiri) menyerahkan sumbangan bakul rezeki bernilai RM3,000 kepada Kamarul Zaman di Econsave cawangan Pokok Sena.
Devanathan (kiri) menyerahkan sumbangan bakul rezeki bernilai RM3,000 kepada Kamarul Zaman di Econsave cawangan Pokok Sena.
A
A
A

POKOK SENA - Keperluan dan sumbangan kepada Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Fateh di Kuala Nerang yang menempatkan anak yatim, asnaf zakat serta pelajar daripada keluarga miskin terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Hal Ehwal Kebajikan dan Perhubungan SRI Al-Fateh, Kamarul Zaman Md Yusof berkata, perkara tersebut disebabkan sumbangan yang diterima daripada orang ramai semakin berkurangan berbanding sebelum PKP dilaksanakan.

Menurutnya, bekalan makanan mentah seperti seperti ikan, sayuran dan keperluan asas lain juga semakin berkurangan.

"Memang sepanjang PKP ini sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk menguruskan penghuni yang tinggal di SRI Al-Fateh di Kuala Nerang agak susut," ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sekolah yang diasaskan pada 2018 dan menempatkan seramai 113 pelajar lelaki dan 108 perempuan itu memerlukan peruntukan sebanyak RM5 sehari untuk keperluan makanan bagi seorang pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Sebelum itu, Kamarul Zaman yang mewakili sekolah tersebut menerima sumbangan bakul rezeki berjumlah RM3,000 daripada Econsave Cawangan Pokok Sena.

Sumbangan yang diterima itu sedikit-sebanyak dapat meringankan beban seluruh warga sekolah tersebut khususnya pelajar-pelajar di bawah jagaan mereka.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Econsave Pokok Sena, B Devanathan memberitahu, sumbangan tersebut adalah pemberian daripada pelanggan-pelanggan Econsave yang prihatin dan mengambil berat tentang kehidupan harian anak-anak yatim di sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, EconSave menyediakan ruang bagi memudahkan pelanggan menempatkan barang sumbangan mereka yang dinamakan sebagai bakul rezeki.

"Bakul rezeki ini adalah sumbangan daripada pelanggan-pelanggan Econsave. Semua barang-barang yang disumbangkan terdiri daripada bahan asas seperti makanan kering, beras, susu tin, minyak, sabun mandi dan pewangi pakaian," katanya.

Kepada yang mahu menyumbang atau mendapatkan maklumat berhubung bantuan kepada SRI Al-Fateh boleh menghubungi Kamarul Zaman di talian 018-2013 809.