[VIDEO] Benih kerang tidak putus, potensi Perak jadi pusat pembiakan terbaik dunia
IPOH - Keupayaan menghasilkan benih kerang secara berterusan sejak 2018 meletakkan Perak pada landasan untuk menjadi antara pusat pembiakan kerang terbaik dunia.

Lebih membanggakan, kejayaan penyelidikan yang dilaksanakan di perairan negeri ini bukan sahaja membolehkan bekalan benih kerang diperoleh sepanjang tahun, malah memendekkan tempoh penternakan kepada sekitar lima ke enam bulan bagi satu kitaran pengeluaran.
Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak, Jabatan Perikanan Malaysia, Dr Hadzley Harith berkata, keistimewaan utama industri kerang Perak terletak pada keupayaan menghasilkan benih menerusi kaedah pembenihan aruhan yang dilaksanakan secara berskala besar di lapangan.

Menurutnya, setakat ini, Perak mempunyai beberapa lokasi yang berjaya menghasilkan benih kerang secara konsisten, sekali gus membolehkan aktiviti penternakan diteruskan tanpa terlalu bergantung kepada bekalan benih semula jadi yang tidak menentu.
"Benih kerang di Perak sehingga kini tidak putus, malah setiap hari ada penghasilan benih dengan saiz bermula daripada sehalus pasir sehingga mencapai 24 milimeter (mm).
"Keadaan ini memberikan kelebihan kepada pengusaha kerana bekalan benih boleh diperoleh mengikut keperluan dan saiz yang sesuai untuk aktiviti penternakan," katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.
Beliau berkata, kejayaan itu merupakan hasil penyelidikan yang dimulakan sejak 2009 sebelum projek pembenihan kerang mula dilaksanakan pada 2011.
Katanya, sokongan kerajaan negeri dan Persekutuan selepas melihat hasil penyelidikan berkenaan membolehkan teknologi itu dikembangkan daripada peringkat kajian kepada pelaksanaan secara lebih meluas di lapangan.

Menurutnya, antara lokasi yang membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut ialah Projek Kebun Kerang Lekir yang dilancarkan pada 2020, berjaya menghasilkan kira-kira 1,200 tan metrik benih kerang dalam tempoh 18 bulan.
Malah, lima daripada 10 kebun kerang di Lekir telah melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak 120 tan metrik bagi tahun ini, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan hasil menerusi pengurusan ternakan yang sistematik.
"Projek ini turut membawa kesan sosioekonomi kepada 104 peserta daripada golongan B40 di kawasan itu apabila sebahagian daripada mereka berjaya meningkatkan taraf pendapatan sehingga melepasi garis kemiskinan," katanya.
Kejayaan itu merintis kepada usaha kerajaan negeri memperluas Projek Kebun Kerang secara besar-besaran ke daerah pesisir pantai lain seperti Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS) dan Hilir Perak.

Dr Hadzley menjelaskan, sistem penternakan menggunakan lot seluas 21 hektar yang dibahagikan kepada lapan petak kecil, masing-masing berkeluasan 2.625 hektar, membolehkan proses penanaman benih dan penuaian dilakukan secara berperingkat.
"Sebagai contoh, benih dimasukkan ke petak pertama pada bulan pertama dan hasilnya boleh dituai sekitar bulan keenam atau ketujuh.
"Selepas penuaian selesai, benih baharu dimasukkan semula ke petak sama, manakala petak lain turut diuruskan mengikut jadual. Dengan cara ini, pengeluaran boleh dilakukan secara berterusan," katanya.
Pendekatan itu jelasnya, memberikan kelebihan kepada pengusaha kerana aktiviti penuaian tidak perlu menunggu semua kawasan ternakan mencapai tempoh matang secara serentak.
Dari segi produktiviti, beliau berkata, kebun kerang di Perak pernah mencapai pengeluaran tertinggi sebanyak 11.47 tan metrik sehektar, dengan maksud mempunyai potensi pendaratan kerang melebih 2 juta setahun.
Keistimewaan kerang Perak turut terserlah menerusi ciri fizikalnya yang mempunyai jalur kultur pada permukaan cangkerang, hasil proses pemindahan benih dari kawasan pembenihan di pantai ke lokasi penternakan di laut.

Menurut Dr Hadzley, kerang yang dihasilkan melalui kaedah berkenaan mempunyai isi penuh menjadi antara ciri yang diketengahkan menerusi jenama Kerang Premium Perak.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan warna serta jalur pada cangkerang bukan faktor yang menentukan rasa kerang kerana kualiti isi lebih dipengaruhi keadaan dasar laut di lokasi ternakan.
Katanya, persekitaran dasar laut yang sesuai membolehkan kerang membesar dengan lebih baik, mencapai kematangan dan mempunyai isi yang penuh berbanding kerang yang mengalami tekanan persekitaran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha memperkukuh sumber benih turut diteruskan menerusi pembenihan aruhan di sembilan lokasi perairan Perak tahun ini.
Katanya, peluasan itu dijangka menjadikan bekalan benih kerang lebih stabil di sepanjang perairan negeri ini, sekali gus menyokong pengembangan kawasan penternakan pada masa hadapan.
"Lebih penting, usaha dilakukan ini dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi biru yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat pesisir pantai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

