Armada bantu mangsa tragedi kepala air

Sukarelawan yang membantu membersihkan kawasan banjir lumpur di lokasi bencana fenomena kepala air Gunung Jerai.
Sukarelawan yang membantu membersihkan kawasan banjir lumpur di lokasi bencana fenomena kepala air Gunung Jerai.
A
A
A

YAN - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah menghantar lebih 70 sukarelawan ke kawasan bencana fenomena kepala air.

Ketua Armada Bersatu Kedah merangkap Ketua Armada Jerai, Saffuan Sabari berkata, sukarelawan terdiri daripada ahli Armada itu antara yang terawal turun padang bagi menghulurkan bantuan sekaligus membersihkan kawasan terjejas.

Menurutnya, pemberian awal termasuk makanan ringan dan makanan siap masak kerana memahami kesukaran dan kekangan mangsa setelah kediaman mereka dilanda banjir lumpur.

"Kita sudah bersihkan rumah di kawasan Gurun dan seterusnya tumpukan kepada lokasi awam termasuk sekolah di Yan yang terjejas teruk meliputi kelas dan kawasan kaki lima yang dipenuhi lumpur selain peralatan sekolah yang rosak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, bantuan lain seperti barangan keperluan, peralatan mencuci serta lain-lain telah disediakan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Antara sukarelawan yang terlibat melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana fenomena kepala air Gunung Jerai.
Antara sukarelawan yang terlibat melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana fenomena kepala air Gunung Jerai.

"Kita juga akan melihat kepada keperluan jangka masa panjang sekiranya masih lagi ada yang memerlukan, kita akan bantu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menyantuni petugas sukarelawan dan barisan hadapan termasuk pengamal media yang bertugas di lokasi bencana dengan menghantar makanan tengah hari kepada mereka.

Beliau menjelaskan, pengalaman terlibat secara langsung membantu menguruskan bencana membolehkan Armada membuat persediaan dan persiapan berdepan sebarang situasi kecemasan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, katanya, lebih 100 ahli Armada terjejas dalam fenomena kepala air dan banjir lumpur sekitar Daerah Kuala Muda dan Yan.

"Kita akan mengenal pasti sekiranya masih terdapat ahli terjejas yang belum disenaraikan, kita minta setiap cawangan menghantar maklumat kepada bahagian bagi menyelaraskan data ini untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.

Pada kejadian 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dibawa arus dalam kejadian fenomena kepala air di Gunung Jerai sehingga menjejaskan ratusan buah rumah dan lebih 1,000 keluarga di Gurun, Yan dan Merbok.