Pencapaian rekod Asia gagal beri keceriaan kepada Brenda

Perenang paralimpik negara Larry Brenda Anellia beraksi dalam acara saringan wanita 50m Butterfly-S5 pada kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.- Foto Bernama
Perenang paralimpik negara Larry Brenda Anellia beraksi dalam acara saringan wanita 50m Butterfly-S5 pada kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PENCAPAIAN rekod Asia pada Sukan Paralimpik pada peringkat saringan gagal mengubati kekecewaan perenang negara Brenda Anellia Larry apabila gagal menempah tiket ke pusingan akhir acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu wanita S5 di sini pada Jumaat.

Perenang muda berusia 16 tahun itu begitu hampa sehingga perasaan kecewa dan sedihnya dizahirkan dengan tangisan dalam tandas di Pusat Akuatik Tokyo.

Perasaan sedih menyelubungi dirinya tatkala gagal menepati misi untuk mencatatkan masa bawah satu minit dalam acara tersebut.

Oleh kerana kekurangan peserta dalam kategori S4, Brenda terpaksa bersaing dalam S5.

Beliau mencatat rekod Asia dengan melakukan catatan 1 minit 00.62 saat (s) dalam saringan 2, sekali gus memperbaiki catatan 1:09.72s yang dicipta di Kejohanan Siri Dunia Renang Para di Singapura pada 2019.

Bagaimanapun, pencapaian berkenaan tidak memadai untuk Brenda melangkah ke pusingan akhir petang ini apabila menamatkan saringan di tempat ke-13 daripada keseluruhan 14 perenang.

Mengikut format pertandingan, hanya lapan daripada 14 perenang terbaik dalam siri dua saringan tersebut menerima slot ke final.

“Dia menangis sebaik sahaja keluar dari kolam renang dan terus menangis dalam tandas.

Artikel Berkaitan:

“Saya memberitahunya tidak perlu menangis kerana dia baru sahaja memecahkan rekod Asia miliknya tetapi dia begitu kecewa kerana gagal melakukan yang terbaik,” kata jurulatih Brenda, Eva Wong kepada Bernama.

Eva, yang bangga dengan pencapaian Brenda dan percaya anak buahnya mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh, berharap remaja itu dapat menebus kekecewaan dengan melakukan aksi terbaik pada acara kegemarannya iaitu 50m kuak lentang pada Jumaat depan (3 Sept).

Eva, yang menjadi jurulatih Brenda sejak 2016, berharap akan ada satu kategori S4 kuak kupu-kupu wanita pada temasya 2024 di Paris.

“Pada masa ini, semua perenang acara kuak kupu-kupu daripada kategori S1 hingga S5 perlu bersaing dalam S5. Saya harap akan ada satu acara S4 pada masa akan datang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!