Harap tidak berlaku di NS: MB

 Aminuddin (tengah) bersama kakitangan Jabatan Pentadbiran Daerah Seremban.
Aminuddin (tengah) bersama kakitangan Jabatan Pentadbiran Daerah Seremban.
A
A
A

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berharap insiden seorang lelaki mengamuk ketika berurusan di sebuah premis kerajaan yang tular di media sosial Rabu lalu, tidak berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, setiap penjawat awam perlu memastikan mereka berusaha beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, jika insiden sama berlaku di negeri ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik akan mengambil tindakan mengikut peraturan dan tata tertib disediakan.

“Sebab itulah sekarang kerajaan negeri dalam usaha untuk turun padang berjumpa dengan semua penjawat awam untuk menaikkan semula semangat mereka.

“Kita nak semuanya memperbaharui semangat dan iltizam terutamanya dalam soal memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat diberi,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Perhimpunan Penjawat Awam Jabatan Pentadbiran Daerah Seremban di Eco Park Rantau di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video seorang lelaki mengamuk ketika berurusan di sebuah premis kerajaan yang tular Rabu lalu sehingga mendapat pelbagai reaksi warga maya.

Menerusi video berdurasi 43 saat itu, lelaki terbabit dengan suara tinggi menjelaskan yang dia berada di premis berkenaan sejak jam 10 pagi.

Namun selepas empat jam menunggu nombor gilirannya dipanggil, dia diarahkan pulang dan kembali semula ke premis kerana kekurangan kakitangan dan waktu rehat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain beliau berkata, berdasarkan kajian menjelang 2030, 80 peratus penduduk di negara ini akan tinggal di kawasan perbandaran.

“Di Negeri Sembilan, kawasan perbandaran itu tak kisah sama ada di Seremban, Port Dickson atau Kuala Pilah kerana kawasan ini akan jadi tumpuan masyarakat kerana ada pelbagai kemudahan disediakan.

“Ini merupakan satu tugasan yang cukup berat kepada kerajaan untuk pastikan segala infrastruktur dan kemudahan serta perumahan kepada rakyat itu dapat disediakan walaupun mereka tinggal di daerah lain. Ini perlu satu perancangan supaya tak datang masalah pada kerajaan akan datang,” katanya.