Rooney yakin Ronaldo tidak akan sertai City

Rooney dan Ronaldo ketika beraksi untuk Manchester United. foto: gettyimages
Rooney dan Ronaldo ketika beraksi untuk Manchester United. foto: gettyimages
A
A
A

BIARPUN gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dikatakan hampir berjaya membawa bintang Juventus, Cristiano Ronaldo ke Etihad, namun bekas rakan sepasukannya di Manchester United Wayne Rooney yakin, bintang Portugal itu tidak akan menyertai skuad The Citizens itu.

Menurut Rooney, bekas rakan sepasukannya itu tidak akan menyertai kelab yang juga menjadi antara seteru dan juga pesaing utama United dalam saingan EPL sejak dahulu.

Malah katanya, laporan berita yang mengatakan bintang Portugal itu hampir menyertai City juga lebih dilihat sebagai spekulasi bagi menghangatkan lagi jendela perpindahan kali ini.

“Saya tidak melihat dia (Ronaldo) akan menyertai City, tetapi ia adalah bola sepak dan kita tidak akan tahu apa yang bakal berlaku; lagi pun, dari segi kewangan lebih baik dia menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

“Lagi pun, dah hampir sedekad, Ronaldo tidak beraksi di EPL, oleh itu bagi saya, dia berhak untuk membuat keputusan dengan mengambil kira kepentingan dirinya serta keluarganya,” katanya.

Untuk rekod, Ronaldo mula beraksi untuk United sejak musim 2003 hingga 2009 lalu sebelum menyertai Real Madrid dan Juventus.

Tambah Rooney, Ronaldo juga memiliki legasi yang baik di United dan sudah semestinya sukar untuknya beraksi dengan pasukan lain di EPL.

Malah katanya, tindakan Ronaldo menyertai pasukan lain juga pastinya turut menimbulkan pelbagai ‘kecaman’ daripada penyokong skuad The Red Devils itu.

Artikel Berkaitan:

“Mereka (penyokong) telah menyaksikannya sejak beraksi di Old Trafford dan mereka tetap menyokongnya ketika beraksi di Real Madrid dan Juventus.

“Oleh itu, dia telah dianggap sebagai ‘lagenda’ di United,” katanya.