Sanggup tempuh laluan licin, bercuram baik pulih paip

Petugas Jabatan amal membawa naik gelung paip sepanjang laluan ke sumber air bersih ke puncak air terjun. Gambar kecil: Mohd Saifuddin
Petugas Jabatan amal membawa naik gelung paip sepanjang laluan ke sumber air bersih ke puncak air terjun. Gambar kecil: Mohd Saifuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Operasi baik pulih sistem paip yang terputus susulan fenomena kepala air Gunung Jerai pada Rabu berjalan lancar.

Kerosakan sistem perpaipan itu menyebabkan gangguan bekalan air di 10 kampung sekitar Yan.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK), Mohd Saifuddin Hassan berkata, petugas Jabatan Amal berjaya membaik pulih sistem berkenaan sejak lebih seminggu lalu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Nakaie Naka berkata, pada peringkat awal, operasi di Kampung Sungai Badak 3 itu melibatkan 150 petugas Jabatan Amal.

"Fenomena kepala air Gunung Jerai menyebabkan paip air yang digunakan penduduk untuk menyalurkan air bersih mengalami kerosakan dan perlu diganti sistem perpaipan baharu.

"Kami mengusung sembilan gulung paip PVC yang setiap satunya sepanjang 100 meter (m) untuk membaiki sistem perpaipan yang rosak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Petugas Jabatan Amal mengusung paip untuk kerja baik pulih paip rosak akibat fenomena kepala air.
Petugas Jabatan Amal mengusung paip untuk kerja baik pulih paip rosak akibat fenomena kepala air.

Artikel Berkaitan:

Operasi itu turut disertai Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid; Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Mujahid Own dan Pengarah Pilihanraya DPPNK, Ku Abdul Muhyi.

Tambah beliau, kerja-kerja dilakukan termasuk membawa naik sembilan gelung paip sepanjang laluan ke sumber air bersih di puncak air terjun sejauh dua kilometer (km) dan membantu penduduk memasang paip baru.

Katanya, petugas Jabatan Amal turut menggunakan paip bersaiz 7.32 centimeter (cm) dengan panjang 50m selain paip bersaiz 5.08 cm dengan panjang 100m untuk kerja baik pulih itu.

Beliau memberitahu, mereka memulakan kerja membaik pulih sistem perpaipan seawal jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap hari sejak seminggu lepas demi membantu penduduk.

"Pada Jumaat, operasi baik pulih sistem perpaipan diteruskan melibatkan lebih 200 petugas Jabatan Amal di Kampung Pauh diikuti lokasi seterusnya, Kampung Teroi pada Ahad ini," katanya.

"Melalui operasi baik pulih ini, kita menganggarkan lebih 500 keluarga dari 10 kampung dapat menerima bekalan air semula selepas ini," katanya.

Beliau juga tidak menafikan berdepan cabaran terutama ketika hujan seperti laluan licin, penuh batu dan curam, selain bimbang kehadiran haiwan berbisa namun tidak mematahkan semangat membantu penduduk.

Bagaimanapun, Mohd Saifuddin yang juga Pengarah Operasi memberitahu, secara keseluruhannya operasi berkenaan berjalan dengan baik walaupun terpaksa berdepan hujan lebat.

Beliau berkata, kerja-kerja berkenaan turut dibantu Jabatan Amal Malaysia Selangor, Jabatan Amal Kelantan, Jabatan Amal Pulau Pinang dan Jabatan Amal Perlis.

"Sehubungan itu, pihak Jabatan Amal Malaysia Kedah ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada jabatan amal dari beberapa negeri yang terlibat secara langsung," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga ingin berterima kasih kepada penyumbang daripada pelbagai agensi dan dan badan bukan kerajaan, termasuk Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah, Sahabat Amal Care, Komuniti Peduli Insan (KPI), AL-Azhar Care dan penyumbang perseorangan.

"Kami hanya menyumbangkan tenaga namun banyak sumbangan untuk membantu kos pembelian peralatan bagi sempurnakan misi bekalan air ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melalui akaun Bank Islam 02011010009300 atas nama Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah dan maklumkan mengenai sumbangan ke talian 013-415 0845 (Nakhaie).

Petugas Jabatan Amal tidak patah semangat walaupun terpaksa melalui laluan licin dan penuh batu.
Petugas Jabatan Amal tidak patah semangat walaupun terpaksa melalui laluan licin dan penuh batu.