Enam pemimpin dari Sabah dilantik menteri, timbalan menteri

Bangunan Perdana Putra - Foto Bernama
Bangunan Perdana Putra - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Enam pemimpin dari Sabah dilantik memenuhi dua jawatan menteri penuh dan empat timbalan menteri dalam kabinet Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dua pemimpin politik kekal sebagai menteri penuh dalam portfolio yang sama sebelum ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, dua muka baharu iaitu Yamani Hafez Musa dan Datuk Mohamad Alamin masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Timbalan Menteri II (Pendidikan).

Dua lagi jawatan timbalan menteri pula diisi oleh Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kanan (Kerja Raya) dan Jonathan Yassin kekal menjawat jawatan beliau sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri II.

Ismail Sabri ketika mengumumkan senarai menteri kabinet pada Jumaat turut berpesan supaya semua barisan menteri dan timbalan menteri supaya menjalankan tugas yang telah diberikan dengan amanah demi rakyat dan negara.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan akan diadakan pada jam 2.30 petang Isnin depan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul, Azmin kekal, Khairy dilantik Menteri Kesihatan

Artikel Berkaitan: