Nurshuhaini, Zhing Yi kekal rentak tanpa kalah

Zhing Yi mengekalkan aksi tanpa kalah dalam kejohanan badminton Ranking Dalaman Remaja BAM. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM
Zhing Yi mengekalkan aksi tanpa kalah dalam kejohanan badminton Ranking Dalaman Remaja BAM. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

SITI Nurshuhaini Azman dan Tan Zhing Yi berjaya mengekalkan aksi tanpa kalah dalam kejohanan badminton Ranking Dalaman Remaja BAM sehingga kini, bagi mengesahkan kedudukan dua tempat teratas mereka dalam kumpulan.

Dengan hanya tinggal satu lagi perlawanan, Siti Nurshuhaini dan Zhing Yi sudah menempah tiket mereka untuk kedudukan dua teratas selepas memenangi semua empat perlawanan dalam perseorangan remaja wanita Kumpulan A, namun mereka akan berhadapan sesama sendiri bagi memuktamadkan tempat sebagai peneraju kumpulan, esok.

Zhing Yi yang terpaksa bekerja keras sebelum menumpaskan Ong Xin Yee 21-15, 2-21, 22-20, hari ini berkata, baginya menang atau kalah dalam perlawanan esok bukan perkara utama kerana yang penting adalah untuk menampilkan persembahan terbaik dan menikmati perlawanan sebaiknya.

“Dalam set pertama dia mengekori saya, tapi dalam set kedua saya membuat banyak kesilapan dan gagal meraih banyak mata. Dalam set penentuan saya rebut peluang untuk terus menerajui dalam pungutan mata sejak awal perlawanan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Siti Nurshuhaini meraih kemenangan keempat beliau selepas menumpaskan Chan Wen Tse dengan 21-12, 21-17.

Dalam kategori Remaja Perseorangan Lelaki Kumpulan A pula, tiga pemain yang terdiri daripada Justin Hoh, Eogene Eon dan Ong Zhen Yi, akan berentap esok untuk menentukan dua kedudukan teratas dalam kumpulan.

Justin menampilkan persembahan mantap hari ini menumpaskan Muhd Fazriq Mohd Razif 21-14, 21-16, manakala Eogene terpaksa bekerja keras untuk menumpaskan Zhen Yi 22-20, 18-21, 21-14.

Esok Justin perlu berhadapan dengan V. Poopathy, manakala Eogene perlu menewaskan Chua Kim Sheng untuk menerajui kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam Kumpulan B, Jan Jireh Lee menerajui kumpulan selepas memenangi perlawanan kelima beliau hari ini, menewaskan Lok Hong Quan 21-11, 21-12.

Bagaimanapun beliau perlu menunggu keputusan perlawanan melibatkan Anson Cheong dan Rex Hooi Shao Herng esok bagi memuktamadkan kedudukannya. - Bernama