Kastam tumpas sindiket dadah RM6.624 juta

Abdul Latif (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada 16 Ogos lepas di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Abdul Latif (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada 16 Ogos lepas di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah dianggarkan bernilai RM6.624 juta melalui perkhidmatan kargo udara pada 16 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas pemeriksaan pada jam 5.40 petang ke atas 14 kotak barang yang hendak dieksport ke luar negara dikesan mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, dadah dimasukkan dalam 184 bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun anggota kastam Cawangan Ibu Narkotik Ibu Pejabat Kastam yang melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mengesan dadah berkenaan.

"Barang dagangan seberat 184 kilogram itu diisytiharkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik dan dipercayai hendak dieksport ke negara Asia Pasifik," katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam di Kampung Jijan, Nilai di sini pada Khamis.

Abdul Latif memberitahu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 43 tahun yang disyaki cuba menyeludup dadah tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan itu, pihaknya menyerbu dua lokasi berasingan di sekitar Nilai dan menahan dua lagi lelaki tempatan berumur 42 dan 45 tahun yang disyaki menjadi dalang dalam sindiket.

"Sindiket ini menggunakan modus operandi dengan mengisytiharkan barang yang mengandungi dadah sebagai alat perkakasan dapur elektrik iaitu barang yang dikategorikan sebagai 'General Cargo' bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Hasil siasatan mendapati, sindiket dadah tersebut dikesan telah 11 kali menyeludup dadah ke luar negara dipercayai menggunakan modus operandi sama," katanya yang turut memaklumkan dadah tersebut dipercayai diperoleh daripada pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama 14 hari bermula 17 hingga 30 Ogos ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Kita berharap orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau buat laporan di pejabat kastam berdekatan di semua negeri," katanya.