Adakah Anwar berjaya satukan pembangkang bawah ‘khemah besar’?

PH menerusi kenyataan pada Rabu menjemput semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan mereka selaras konsep ‘khemah besar’ parti itu ke arah menjadi pembangkang yang berkesan. Gambar fail.
PH menerusi kenyataan pada Rabu menjemput semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan mereka selaras konsep ‘khemah besar’ parti itu ke arah menjadi pembangkang yang berkesan. Gambar fail.
A
A
A

JEMPUTAN Pakatan Harapan (PH) kepada semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan gabungan itu menimbulkan tanda adakah Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjaya menyatukan kesemua parti-parti pembangkang di bawah konsep ‘khemah besar’.

PH menerusi kenyataan pada Rabu menjemput semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan mereka selaras konsep ‘khemah besar’ parti itu ke arah menjadi pembangkang yang berkesan.

Menurut kenyataan itu lagi, jemputan itu akan dikemukakan dalam satu pertemuan dalam masa terdekat antara Anwar selaku Ketua Pembangkang dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang lain seperti yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Pertemuan itu nanti antara lain akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September.

Ini termasuk kemungkinan diadakan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisi kekosongan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Umum mengetahui pembangkang kini dilihat tidak bersatu padu dan ia boleh nampak dengan beberapa kenyataan atau tindak-tanduk parti-parti pembangkang itu sendiri.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu berhasrat bertanding sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sekiranya Pejuang bertanding 120 kerusi pada PRU15 akan datang, dapat dilihat parti itu akan melawan pembangkang lain atau pertandingan tiga penjuru.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini sudah pasti menyulitkan tugas Anwar untuk menyatukan pembangkang di bawah ‘khemah besar’ khususnya parti Pejuang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Sebuah lagi parti, iatu Parti Warisan Sabah (Warisan) juga dilihat mempersulitkan tugas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Warisan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini antara calon daripada pembangkang bersama-sama bersaing dengan Anwar sebagai calon Perdana Menteri yang akhirnya ‘dimenangi’ oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd Shafie sebelum ini dilaporkan berkata, beliau percaya boleh mendapat lebih banyak undi daripada Ahli Parlimen untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya beliau menjadi calon blok pembangkang bukannya Anwar.

Kenyataan ini juga dilihat seolah-olah Ahli Parlimen Semporna itu seperti ‘berkecil hati’ kerana tidak memperoleh lebih banyak undi kerana Anwar turut dicalonkan.

Selain daripada itu, Warisan juga sebelum ini digembar-gemburkan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dan ini akan mengakibatkan parti pembangkang bertanding melawan sesama sendiri.

Jadi, adakah Anwar mempunyai masa yang cukup untuk menyatukan atau mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang agar mereka sepakat dan tidak berlawan sesama sendiri?

PRU15 kemungkinan besar diadakan pada tahun hadapan dan tidak banyak masa yang tinggal buat Anwar agar konsep ‘khemah besar’ itu terlaksana.