ASTAF tamat penggantungan Wan Mohd Husni

Abdul Halim. - Foto BeritaHarian SG.
Abdul Halim. - Foto BeritaHarian SG.
A
A
A

MAJLIS Eksekutif Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), menerusi kenyataan media pada Rabu mengumumkan bahawa badan induk sepaktakraw Asia itu memutuskan untuk menamatkan penggantungan Pengurus Pasukan Sepaktakraw Wanita Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan itu turut menyaksikan hukuman penggantungan selama lima tahun yang dikenakan terhadap Wan Mohd Husni telah pun dipendekkan dan berkuatkuasa mulai 26 Ogos 2021.

Menurut Abdul Halim, keputusan berkenaan dibuat setelah Majlis Eksekutif ASTAF berpendapat bahawa Wan Mohd Husni adalah seorang pemuda yang mempunyai minat tinggi dalam sukan sepaktakraw yang wajar mendapat peluang kedua demi perkembangan sukan ini di Malaysia selain itu, jawatannya selaku Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (PESTANS) dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan sukan sepaktakraw.

“Wan Mohd Husni juga telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan telah pun menandatangani surat persetujuan bersyarat yang menggariskan dua perkara.

“Pertama; berjanji tidak akan mengulangi kelakuan tersebut dan akan sentiasa mematuhi segala undang-undang serta peraturan ASTAF serta Persekutuan Sepaktakraw Antarabangasa (ISTAF) dan kedua; akur atas larangan penyertaan ke Sukan SEA di Vietnam, nanti,” katanya menerusi kenyataan media berkenaan.

Untuk rekod, PESTANS mempunyai sejarah hebat dalam penganjuran Sepaktakraw di pentas antarabangsa melalui penganjuran Kejohanan Sepaktakraw Antarabangsa Piala ISA selama 9 tahun berturut-turut yang diiktiraf oleh ASTAF dan ISTAF.

Difahamkan, penganjuran kejohanan berkenaan yang turut disertai oleh peserta luar negara, melibatkan perbelanjaan berjumlah hampir RM6 juta melibatkan pihak penganjur, kerajaan negeri dan juga pihak swasta.

Sementara itu Abdul Halim yakin penamatan penggantungan Wan Husni akan dapat membantu pembangunan sepaktakraw di negara ini dan memeriahkan lagi sukan sepaktakraw dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak ASTAF juga yakin dengan kredibiliti Wan Husni yang ketika ini memegang jawatan utama dalam Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM), beliau mempunyai potensi besar untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam sukan sepaktakraw di Malaysia mahupun Asia atau dunia dengan peluang dan panduan yang tepat.

“Kami yakin beliau akan berubah dan mampu memenuhi harapan ini serta membuat segala penambahbaikan yang perlu dalam menyediakan diri beliau untuk membawa sukan sepaktakraw Malaysia ke satu dimensi baharu.

“Pengalaman ini pastinya akan mematangkan beliau. Peristiwa penggantungan beliau ini tetap disimpan dalam lipatan sejarah dan akan menjadi teladan serta iktibar kepada semua. Semoga Allah SWT memberkati para pemimpin sukan ini dan memberi petunjuk dan hidayah-Nya dalam usaha mengangkat martabat Sepaktakraw ke peringkat Olimpik pada masa hadapan,” katanya.