Hanya 14,000 penduduk di Negeri Sembilan belum divaksin

Datuk Seri Aminuddin Harun
Datuk Seri Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Hanya kira-kira 14,000 individu daripada keseluruhan 831,107 penduduk Negeri Sembilan berusia 18 tahun ke atas yang sudah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) belum menerima tarikh vaksinasi setakat Selasa.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun yakin kesemua mereka akan selesai divaksinasi selewat-lewatnya minggu hadapan bagi membolehkan negeri mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.

“Mereka yang belum divaksin itu diharap sentiasa mengemas kini aplikasi MySejahtera masing-masing. Bekalan dos kedua cukup, namun bilangan vaksin dos pertama agak sedikit. Kita jangkakan sebelum 31 Ogos ini kita boleh capai 80 peratus untuk vaksinasi dos kedua,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Aminuddin berkata, pihaknya juga merancang untuk menutup beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) secara berperingkat memandangkan negeri telah mencapai 90.9 peratus atau 740,587 individu menerima suntikan dos pertama, manakala 73.4 peratus (597,832) telah melengkapkan suntikan vaksin setakat Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang membuka PPV secara jumpa terus (walk-in) di semua daerah khas untuk penduduk negeri ini pada tarikh dan waktu yang sama secara serentak apabila pemberian dos pertama telah mencapai lebih 96 peratus.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 selain turut diwajibkan menjalani ujian calitan bagi menghadiri persidangan DUN pada 3 September ini.

“Perjalanan sidang juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain hanya mengambil masa yang terhad berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan rakyat untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dalam menangani penularan Covid-19 walaupun negeri beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini kerana anak-anak yang berumur 17 tahun ke bawah masih belum menerima suntikan vaksin dan terdedah kepada bahaya jangkitan wabak itu selain kewujudan varian mutasi Covid-19 seperti varian Delta yang mempunyai potensi jangkitan hingga 10 kali ganda. - Bernama