Gagal lapor rasuah, pengurus pentadbiran didenda RM23,000

Seorang pengurus pentadbiran Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah RM12,000 berhubung pengendalian insurans, tiga tahun lalu.
Seorang pengurus pentadbiran Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah RM12,000 berhubung pengendalian insurans, tiga tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pengurus pentadbiran Yayasan Hijrah Selangor didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah RM12,000 berhubung pengendalian insurans, tiga tahun lalu.

Mohamad Rozaidi Othman, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pilihan pertama, dia didenda RM8,000 manakala pertuduhan pilihan kedua ialah RM15,000.

Tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama lapan bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang Pengurus Pentadbiran di Yayasan Hijrah Selangor, telah diberikan wang suapan RM3,200 dan RM8,800 daripada seorang lelaki, melalui akaun simpanan Maybank milik tertuduh.

Ia sebagai upah kepada tertuduh bagi melakukan sesuatu perkara iaitu membantu lelaki berkenaan untuk dilantik sebagai ejen perkhidmatan daripada syarikat insurans untuk yayasan selama setahun.

Ia yang mana telah melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tertuduh tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pihak SPRM atau polis.

Kesalahan dilakukan di Jalan PJS 11/28A Bandar Sunway, di sini pada 14 Jun dan 25 Jun 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Farhan Ahmad Fadzil merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minima.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.