44,003 responden sertai tele-Psikososial

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 44,003 responden yang terdiri daripada pesakit Covid-19 dan kontaknya (PUS) telah melakukan tele-Psikososial sejak Mac tahun lalu hingga Julai tahun ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, daripada jumlah tersebut, hanya 30 individu atau 0.07 peratus sahaja yang memerlukan rujukan kepada pakar psikitri.

Menurutnya, pengurusan kesihatan mental pesakit Covid-19 dan kontak pesakit Covid-19 serta petugas semasa pandemik di selaraskan melalui Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental Dan Psikososial (MHPSS), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Daripada jumlah berkenaan hanya 30 individu sahaja yang memerlukan rujukan kepada pakar psikiatri dan tiada kes bunuh diri dilaporkan," katanya semasa sesi soal jawab Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.

Izani terdahulu menjawab soalan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan perkembangan tahap kesihatan mental rakyat Kelantan sejak bermulanya pandemik Covid-19 ini sehingga Rabu.

Jawapan yang sama juga diajukan Mohd Rodzi Jaafar (PAS-Gaal) mengenai terdapat individu yang terganggu emosi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Dr Izani (PAS- Kijang) berkata, penyakit mental boleh dikategorikan melalui pelbagai skop antaranya tekanan perasaan, skizofrenia, bipolar dan sebagainya.

Oleh itu katanya, selain ikhtiar melalui ubat-ubatan, Izani berkata, doa juga antara usaha penting memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Buat solat hajat, bacaan Yasin dan sebagainya. Kita pun sentiasa buat semua itu dan kerajaan daripada dulu lagi tidak pernah tinggal hubungan kita dengan ALLAH," katanya.