X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Sektor pertanian perlu suntikan mekanisme moden: Sultan Perak

Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
A
A

IPOH - Suntikan mekanisme baharu dan moden perlu diberikan kepada sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebagai persediaan menghadapi ancaman keselamatan bekalan makanan yang semakin kritikal disebabkan pandemik Covid-19.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kesemua sektor berkenaan perlu diaktifkan dan diperkenalkan dengan budaya kerja serta budaya pengeluaran baharu supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

Titah baginda, pra sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Rom pada Julai lalu telah menyuarakan kebimbangan disebabkan ancaman Covid-19 yang mengekang kegiatan pertanian, berkemungkinan menyebabkan negara-negara pengeluar mengurangkan eksport makanan kerana lebih mengutamakan keperluan domestik.

"Setiap negara wajib memikirkan langkah-langkah strategik untuk menghadapi segala kemungkinan.

"Kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan ini dengan mengaktifkan sektor-sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

"Sektor-sektor ini amat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan pengeluaran baharu dengan menyuntik kaedah-kaedah dan mekanisme moden supaya produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan selain memberikan keutamaan kepada program melahirkan petani, penternak dan nelayan moden," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berangkat ke Istiadat Pembukaan Persidangan Tahun Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sultan Nazrin mengingatkan bahawa Program Makanan Sedunia (World Food Program) memberi amaran daripada angka 27 juta orang yang diancam risiko kebuluran pada 2019 telah meningkat kepada 41 empat juta di 43 negara.

"Peningkatan risiko kebuluran itu didorong oleh kenaikan harga barang makanan penting ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi serta diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19.

"Kebuluran paling teruk akibat ancaman Covid-19 dan peperangan sedang dialami di empat buah negara, Ethiopia, Madagascar, Sudan Selatan dan Yaman melibatkan hampir 600,000 ribu orang," titah baginda.

Dalam titah sama, baginda mahu kerajaan negeri meningkatkan hasil negeri dengan mengenal pasti sumber hasil baharu dalam sektor-sektor berpotensi termasuklah sumber nadir bumi bukan radioaktif (non-radioactive rare earth element-NR-REE).

Titah baginda, sumber NR-REE merupakan mineral terpenting pada masa kini dan masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, perubatan dan pertahanan.

"Dianggarkan dalam perut bumi negeri Perak terkandung 1.7 juta tan sumber NR-REE. Kerajaan telah memulakan projek perintis perlombongan NR-REE di atas tanah seluas 214 hektar.

"Pada masa sama, kerajaan mengambil pendirian sangat berhati-hati dan tidak akan bersifat gopoh untuk melonjak terlalu cepat, meluluskan lesen melombong NR-REE secara besar-besaran.

"Faktor kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan," titah baginda.

Baginda bertitah, Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah, di sebalik pengeluaran bahan mentah itu hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran agar dapat memberikan nilai tambah dan pulangan hasil yang lebih bermakna serta membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan.

"Berasaskan pendirian tersebut, Perbadanan Menteri Besar Perak telah mengorak langkah meneroka ruang menjalinkan kerjasama dengan saintis dan pakar untuk menjalankan penyelidikan ke atas mineral yang baru ditemui ini, sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak merintis usaha untuk membantu membangunkan industri pertengahan dan industri hiliran," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menarik perhatian melahirkan rasa bangga apabila Perak mempunyai tanah Rizab Melayu kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan keluasan 953,000 hektar iaitu meliputi 45 peratus daripada keluasan keseluruhan negeri.

Jelas baginda, sepanjang tempoh selepas kemerdekaan, seluas 15,000 hektar Tanah Rizab Melayu di negeri ini telah dibatalkan, tetapi digantikan semula dengan jumlah yang lebih tinggi iaitu seluas 27,000 hektar.

"Data ini menunjukkan komitmen kerajaan mahu mencapai sasaran 50 peratus tanah Rizab Melayu selaras dengan hasrat untuk menjunjung salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu," titah baginda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!