RM236.63 juta dibelanja menerusi Pakej Kita Selangor 2.0

Kerajaan Selangor telah belanjakan sejumlah RM236.63 juta menerusi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bagi tempoh sehingga 16 Ogos lalu. Gambar kecil: Amirudin
Kerajaan Selangor telah belanjakan sejumlah RM236.63 juta menerusi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bagi tempoh sehingga 16 Ogos lalu. Gambar kecil: Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor telah membelanjakan sejumlah RM236.63 juta menerusi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bagi tempoh sehingga 16 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif yang diumumkan kerajaan negeri pada 9 Jun lalu itu juga telah memberi manfaat kepada 496,800 orang penerima terdiri daripada kalangan rakyat di negeri ini.

Amirudin berkata, sejak pakej berkenaan diperkenalkan, tiga inisiatif telah selesai sepenuhnya dilaksanakan dan berjaya membantu penduduk di negeri ini yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

“Antara inisiatif yang telah selesai adalah pemberian moratorium kepada usahawan Hijrah Selangor selama satu bulan setengah yang memberi implikasi kewangan sebanyak RM11.35 juta dan memberi manfaat kepada 40,000 penerima.

“Selain itu, antara program lain yang telah selesai adalah penangguhan pembayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan penangguhan pembayaran pinjaman biasiswa Yayasan Selangor,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung pada Rabu.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukakan oleh Datuk Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) berhubung status terkini inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri amat memahami tekanan yang dihadapi rakyat sejak penularan wabak Covid-19 malah keadaan juga semakin tidak menentu sejak serangan varian Delta yang memberi kesan terhadap peningkatan kes baharu.

“Kehilangan pendapatan bukan sahaja dirasai oleh rakyat malah turut memberi kesan kepada pendapatan kerajaan negeri susulan daripada pelbagai kekangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam merencanakan bantuan bagi membantu rakyat yang terkesan, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga turut mengambil kira kedudukan kewangan semasa dan mempersiapkan strategi melalui perancangan senario yang bersesuaian.

“Antara alternatif tambahan yang kita laksanakan ialah menerusi penggunaan kit ujian kendiri pantas.

“Malah, kita juga tambah peruntukan sejumlah RM1 juta lagi bagi bantuan khairat kematian susulan daripada pertambahan permohonan yang diterima,” katanya.