X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga PAT ketujuh

Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia pada Selasa.- Foto Facebook Istana Negara
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth yang meninggal dunia pada Selasa.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada ATM dan juga negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Mohd Ghazali, 92, yang merupakan Panglima Angkatan Tentera ketujuh, meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Istana Negara itu, Allahyarham yang dilahirkan pada 4 Februari 1929 di Johor Bahru, pada awal penglibatannya bersama ATM telah memulakan latihan pegawai kadet di Eaton Hall, England pada 1952.

Dari Eaton Hall, Allahyarham pernah terpilih untuk menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst sehingga 1954, sebelum memulakan perkhidmatan bersama ATM di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

Sebagai Ketua Platun, Allahyarham pernah mengetuai operasi menentang pengganas komunis di Sungai Siput, Bidor dan Alor Setar.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai atase tentera di Jakarta pada 1958 dan merupakan penasihat tentera Malaysia yang termuda dan pertama ke Indonesia pada ketika itu.

Pada tahun 1977, Allahyarham dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun hingga 1982 sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ketujuh dari 1982 hingga 1985. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!