Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa lemas tragedi kepala air

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 10 mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Chukai, Terangganu semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sepuluh mangsa tragedi itu ialah Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.

Semalam, media melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya adalah sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang manakala seorang lelaki dari Batu Pahat, Johor dipercayai tunang kepada seorang daripada ahli keluarga itu telah datang ke Jeram Air Putih di sini untuk berkelah pada Sabtu, sebelum dihanyutkan arus deras fenomena itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta orang ramai yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa tragedi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, operasi SAR yang bermula semalam melibatkan 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (65), Pasukan Gerakan Am (PGA) (46), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (empat), badan bukan kerajaan (empat), pasukan khas teknikal oleh orang awam (sembilan) serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Mayat ketiga, keempat ditemui - Polis

Tragedi kepala air: Operasi diperluas ke tiga zon babit 32 km

[VIDEO] Jenazah mangsa tragedi kepala air tiba di HSNZ

Tragedi kepala air: 9 mangsa sudah ditemukan setakat tengah hari