Harga telur, ayam, kambing capai paras tertinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Data Jabatan Perkhimatan Veterinar yang diambil daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendedahkan harga telur ayam bagi Ogos mencapai paras tertinggi pada tahun ini.

Peningkatan harga tersebut melibatkan semua gred telur ayam.

Berdasarkan tarikh kutipan harga pada 21 Ogos, harga telur ayam gred A meningkat dua sen iaitu RM0.44 berbanding RM0.42 sebiji pada Julai.

Harga telur ayam gred B juga meningkatkan dua sen kepada RM0.41 manakala gred C meningkat tiga sen iaitu RM0.39.

Harga telur ayam terendah bagi tahun ini direkodkan pada Mei iaitu RM0.36 (gred A), RM0.33 (gred B) dan RM0.33 (gred C).

Data sama mendedahkan, ayam proses standard, ayam proses super, ayam tua, ayam kampung dan ayam hidup turut mengalami peningkatan harga runcit sehingga 90 sen sekilogram.

Ayam proses standard dicatatkan pada harga RM8.45, ayam proses super RM9.60 iaitu masing-masing meningkat 15 sen berbanding bulan sebelumnya.

Harga ayam tua meningkat 20 sen daripada RM8.40 kepada RM8.60 pada Ogos.

Artikel Berkaitan:

Ayam kampung merekodkan peningkatan harga tertinggi tahun ini iaitu sebanyak 90 sen daripada RM14 pada Julai dan RM14.90 pada Ogos.

Bagi ayam hidup, harga runcit turut meningkat sebanyak 10 sen kepada RM6.95

Dalam laporan itu juga, harga daging kambing bagi setiap kilogram turut meningkat kepada paras tertinggi iaitu RM49.60.

Harga terendah bagi daging kambing direkodkan pada Januari lalu adalah RM44.05.

Turut mengalami peningkatan, harga daging lembu cincang naik sebanyak RM3.10 iaitu RM24.10 berbanding Julai RM21.

Bagaimanapun harga runcit daging lembu pejal merekodkan penurunan RM1.15 sen daripada RM37.45 kepada RM36.30.