X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

'Jangan ulangi kesilapan kerajaan sebelum ini'- Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan baharu diingatkan supaya tidak mengulangi beberapa kesilapan kerajaan sebelum ini seperti bias dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan menyekat persidangan Parlimen.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat meletakkan harapan besar kepada kerajaan baharu untuk melakukan perubahan supaya negara terlepas daripada ancaman pandemik Covid-19 yang semakin memburuk.

Menurutnya, antara kesilapan terdahulu yang perlu dijadikan sempadan adalah keputusan populis yang membahayakan kerana memberi terlalu banyak kelonggaran sebelum negara mencapai tahap imuniti kelompok.

“Kerajaan terdahulu membuka sesi persekolahan semasa kes jangkitan sedang tinggi dan meletakkan pelajar dan guru dalam keadaan berbahaya.

“Memberi kelonggaran kepada pengembara dari luar negara menjalani kuarantin di rumah ketika dunia berdepan ancaman pelbagai varian baharu Covid-19.

“Kerajaan juga bias dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kerana menutup sektor berisiko tetapi sektor yang menyumbang kepada kluster tertinggi dibenarkan beroperasi.” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak bersungguh-sungguh menyebabkan kadar jangkitan bertambah parah.

Kata beliau, kerajaan mengenakan kadar kompaun yang sangat tidak munasabah kepada rakyat dengan tujuan untuk mendidik rakyat.

“Polisi ‘try and error’ sehingga mengundang ‘flip flop’ yang mengelirukan dan menyusahkan rakyat serta bantuan moratorium yang berikan hanya menguntungkan pihak ketiga kerana pinjaman bersifat ‘refinance’ menguntungkan pemiutang.

“Bantuan yang diberikan menguntungkan pihak ketiga kerana bantuan yang diumumkan bersifat terakru sedangan bantuan tersebut diperlukan segera dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak menyeluruh.

“Kerajaan terdahulu tidak mengambil serius titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dan dianggap membelakangi perlembagaan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, terlalu banyak percanggahan polisi memerangi Covid-19 dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diambil mudah demi memenuhi tuntutan kroni dan ‘monetary’.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!