Jangan kibar Jalur Gemilang lusuh, koyak

Rakyat diingatkan memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan tanah air. - Foto Bernama
Rakyat diingatkan memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan tanah air. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengingatkan semua pihak tidak memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang lusuh dan koyak kerana ia tidak melambangkan patriotisme terhadap kemerdekaan negara.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, tindakan mengibar Jalur Gemilang lusuh dan koyak jelas tidak menghormati kedaulatan negara yang bebas daripada penjajah sejak 64 tahun lalu.

Beliau berkata, rakyat diingatkan memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul bagi menerapkan rasa bangga dan cintakan tanah air.

"Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64, MBSA meminta orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shahrin berkata, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta, sekolah, kilang, tadika dan premis lain juga digalakkan untuk memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan.

"Melalui pemasangan Jalur Gemilang ini, diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat cinta kepada negara dan menaikkan semangat patriotik dalam kalangan komuniti setempat di dalam kawasan pentadbiran MBSA," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Shahrin memaklumkan, perkhidmatan kaunter pandu lalu di Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA dibuka sepanjang bulan ini.

Kata beliau, operasi kaunter pandu lalu Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning serta Pejabat Cawangan Setia Alam adalah pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat, mulai jam 9 pagi sehingga jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pada Sabtu dan Ahad operasi perkhidmatan ini bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang," katanya.

Menurut Shahrin, antara perkhidmatan yang disediakan adalah semakan, cetakan dan pembayaran bil-bil MBSA (cukai taksiran, sewaan, kompaun, cagaran, dan permit) carian maklumat, serta pembaharuan lesen perniagaan (tambahan perkhidmatan).

"Pihak MBSA menggalakkan pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan masa menunggu giliran untuk melakukan pembayaran," katanya.