Jiji sudah serah diri

Mohamad Ismail, Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Mohamad Ismail, Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

BACHOK - Seorang lelaki yang dikenali sebagai Jiji tampil menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kes tetak membabitkan kecurian burung Murai Cerek di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki berusia 35 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan jam 7.30 malam pada Isnin.

Menurutnya, suspek diperlukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

“Seorang lelaki dikenali Jiji datang menyerah diri kepada polis malam tadi.

“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok pada pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siastan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, dua lagi lelaki iaitu Jimi atau Muhammad Azmi Abdul Aziz, 36, dan seorang yang belum dikena pasti identitinya masih dicari polis.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan polis mencari tiga lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes tetak membabitkan mangsa yang berusia 42 tahun pada petang Ahad.

Kejadian berlaku di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus ibu jari tangan kanan dipercayai ditetak dengan pedang dan parang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari Jiji, Jimi bantu siasatan kes tetak

Lelaki parah ditetak gara-gara Murai Cerek