X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Lelaki parah ditetak gara-gara Murai Cerek

Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan.
A
A

BACHOK - Seorang lelaki parah di kepala, badan dan kaki selain putus ibu jari tangan kanannya akibat ditetak tiga lelaki dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus di Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini pada petang Ahad.

Mangsa berusia 42 tahun dipercayai diserang dengan golok dan pedang.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, punca kejadian dipercayai akibat pergaduhan membabitkan burung peliharaan jenis Murai Cerek milik mangsa yang dikatakan dicuri seorang lelaki bernama Farid dua hari yang lalu.

Katanya, polis menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 5.35 petang.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan ingin mencari Farid untuk berbincang tentang kecurian burung tersebut.

“Mangsa datang ke tempat kejadian iaitu rumah seorang rakan Farid kerana Farid dikatakan sering melepak di situ, tetapi Farid tidak ada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut beliau, berlaku pergaduhan antara mereka menyebabkan tiga lelaki menetak mangsa dengan menggunakan golok dan pedang.

“Akibatnya, mangsa mengalami putus ibu jari tangan kanan, luka di bahagian atas kepala, di bahagian betis kanan dan lutut kiri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ujar beliau, susulan itu polis giat mengesan tiga lelaki yang terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Ketiga-tiganya dikenalpasti identiti dan usaha mencari mereka sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan parang,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!