X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Polis cari Jiji, Jimi bantu siasatan kes tetak

Muhammad Azmi Abdul Aziz @ Jimi, Mohamad Fairu Azizi Nawi @ Jiji
A
A

BACHOK - Polis sedang mengesan tiga lelaki termasuk dua yang dikenali sebagai Jiji dan Jimi bagi membantu siasatan kes tetak seorang lelaki hingga parah termasuk putus ibu jari tangan kanan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus di Kampung Pauh Jabit, Tawang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian membabitkan mangsa Mohd Roslaidi Arifin, 42, dipercayai berpunca akibat pergaduhan kerana kes kecurian burung murai cerek milik mangsa.

Katanya, polis mengenal pasti Jiji atau nama sebenarnya Mohamad Fairu Azizi Nawi, 35, dan Jimi atau Muhammad Azmi Abdul Aziz, 36, untuk membantu siasatan manakala seorang lagi rakan mereka belum dapat disahkan identitinya.

Mohamad Ismail
Mohamad Ismail

“Polis sudah ke rumah kedua-dua lelaki ini, namun mereka tidak berada di lokasi itu.

“Operasi mencari kedua-duanya giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, semakan rekod lampau terhadap Jiji mendapati ada empat kes jenayah membabitkan dadah iaitu satu kes mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, satu kes Seksyen 39(A) ADB 1952 dan dua kes positif dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Jimi pula mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 23(1)(n) NRR iaitu tiada pengenalan diri ketika ditangkap.

“Polis meminta kerjasama daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang lelaki berusia 42 tahun cedera parah termasuk putus ibu jari tangan kanan dipercayai ditetak tiga lelaki dalam kejadian di belakang SMK Long Yunus, Kampung Pauh Jabit, Tawang pada petang Ahad.

Mangsa dipercayai diserang dengan pedang dan parang selepas pergi ke sebuah rumah bagi mencari lelaki bernama Farid yang dikatakan mencuri burung murai cerek miliknya sebelum berlaku pergaduhan yang membawa kepada mangsa ditetak tiga suspek lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki parah ditetak gara-gara Murai Cerek


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!