'Anda bukan lembu’

Lebih 70 peratus panggilan kecemasan yang diterima pusat keracunan Mississippi melibatkan kes pengambilan ivermectin. - Foto Agensi
Lebih 70 peratus panggilan kecemasan yang diterima pusat keracunan Mississippi melibatkan kes pengambilan ivermectin. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tegas selepas kebanyakan penduduk di Mississippi mengambil ivermectin untuk merawat atau mencegah Covid-19 walaupun ia biasanya digunakan terhadap parasit pada haiwan ternakan.

“Anda bukan lembu atau kuda. Tolong hentikan pengambilan ubat itu,” tegas agensi tersebut.

Gesaan itu dibuat selepas Jabatan Kesihatan Mississippi menyuarakan kebimbangan berikutan lebih 70 peratus panggilan kecemasan yang diterima pusat keracunan negeri itu baru-baru ini melibatkan kes pengambilan ivermectin yang dibeli di pusat bekalan haiwan ternakan.

Pengawai kesihatan negeri, Thomas Dobbs memberitahu beliau menerima laporan tentang individu yang mengambil ubat itu kononnya sebagai ‘langkah pencegahan’.

“Ia sememangnya tidak masuk akal. Tolong jangan buat begitu,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan memaklumkan 85 peratus pengadu mengalami gejala ringan dan seorang individu turut disarankan untuk melakukan pemeriksaan lanjut kerana pengambilan dos secara berlebihan ubat ivermectin.

Sebelum ini, Institut Kesihatan Kebangsaan mengesahkan tiada bukti menunjukkan keberkesanan ivermectin boleh digunakan untuk merawat Covid-19.

Difahamkan, Mississippi mempunyai kadar jangkitan Covid-19 tertinggi dan vaksinasi paling rendah dengan hanya 45.1 peratus menerima dos pertama berbanding 60.5 peratus secara purata di peringkat kebangsaan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info:

>Ivermectin bukan ubat antivirus. Pengambilan dos secara berlebihan boleh mendatangkan bahaya dan kesan serius kepada kesihatan.

>Ubat itu diluluskan untuk kegunaan manusia pada kuantiti dos yang kecil untuk merawat parasit.