Sedania tembusi lima lagi pasaran Eropah

AZRIN MOHD NOOR
AZRIN MOHD NOOR
A
A
A

SHAH ALAM - Sedania Innovator Berhad (Sedania) melalui anak syarikatnya, Offspring Inc terus berkembang pesat di persada antarabangsa dengan pembukaan pasaran baharu di Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Moldova.

Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kemasukan syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian penjagaan kanak-kanak awal itu ke pasaran baharu adalah berikutan pembukaan laman web Offspring yang telah dilancarkan di Rusia.

Menurutnya, Offspring kini berada dalam 17 negara eksport dan wilayah Amerika Utara, Afrika, Eropah dan Asia dengan kadar kelahiran tahunan dari lima negara tersebut dianggarkan sebanyak 790,000 bayi baru lahir dan dijangka akan terus meningkat.

“Berdasarkan anggaran kadar kelahiran keseluruhan, Offspring dianggarkan menjana RM26 juta setahun hasil daripada pasaran tersebut untuk tahun berikutnya.

“Kami sangat teruja dengan pasaran baharu ini kerana usaha tersebut didorong sepenuhnya rakan antarabangsa kami di Rusia.

“Permintaan produk premium berkualiti tinggi semakin meningkat di negara-negara jiran dan Rusia telah mengambil langkah awal dalam menyampaikan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azrin memaklumkan Rusia merupakan salah satu rakan niaga utama mereka yang mencatatkan pertumbuhan mantap lebih daripada 250 peratus sejak tahun 2019.

Sementara itu, tambah beliau, Kazakhstan juga menjadi salah sebuah negara yang berpotensi tinggi apabila negara itu mencatatkan kenaikan ketara dalam tahap pendapatan keseluruhan dengan pendapatan per kapita hampir ASD27,000 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah kadar kelahiran adalah yang tertinggi dalam kalangan lima negara tersebut dengan hampir 420,000 bayi baru lahir dan dianggarkan meningkat pada tahun akan datang.

“Permintaan produk organik yang selamat untuk bayi baru lahir telah melonjak di Kazakhstan dan tren ini dijangka menarik lebih ramai ibu bapa memilih produk selamat yang berkualiti tinggi untuk bayi mereka.

“Akaun media sosial seperti Instagram dan Facebook telah ditetapkan untuk setiap negara tersebut bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat mengenai produk terkini Offspring.

“Semua pembelian dari negara-negara ini termasuk Rusia dibuat melalui beberapa platform dalam talian terkenal seperti wildberries.ru dan ozon.ru,” katanya.