'Perbanyakkan jawatankuasa pilihan Parlimen rentas parti'

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memulihkan demokrasi dengan memperbanyakkan jawatankuasa pilihan Parlimen rentas parti yang tertumpu kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, langkah itu perlu supaya adanya semak imbang lebih berkesan dan idea yang disatukan atas kepentingan negara semasa krisis.

Dalam masa sama, Mujahid turut menggesa Ismail Sabri mengambil beberapa langkah drastik sekurangnya-kurangnya sehingga pembubaran wajib Parlimen pada tahun 2023.

“Antaranya ialah memberi keyakinan kepada rakyat dengan memperkenalkan akta anti lompat parti melibatkan jawatankuasa semua pihak sebelum ia dibentang di Parlimen.

“Beliau juga perlu memberi komitmen membela rakyat dengan suntikan dana sebanyak RM50 bilion dan meningkatkan had ambang tahap keberhutangan negara untuk tujuan tersebut.

“Selain itu, Ismail Sabri perlu mengecilkan saiz kabinet supaya lebih fokus mengendalikan implikasi Covid-19 kepada kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Mujahid berkata, Ahli Parlimen Bera itu harus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan pemerintahan melalui penguatkuasaan yang adil, lawan rasuah, layanan adil kepada semua ahli Parlimen yang mewakili mandat pengundi masing-masing serta mengamalkan ketelusan.

Katanya, kegagalan untuk mempamerkan iltizam ke arah perubahan tersebut akan mendedahkan Ismail Sabri kepada label Perdana Menteri kitar semula.

Artikel Berkaitan:

“Beliau perlu menghindari tekanan politik oleh 114 ahli Parlimen dan blok yang menyokongnya menuntut habuan masing-masing.

“114 bukanlah bilangan yang menjamin kestabilan, namun apa yang berlaku ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari membuktikan seramai 15 ahli Parlimen UMNO telah mempolitikkan hubungan tegang UMNO dan Bersatu hingga lahirnya kerajaan kitar semula hari ini,” ujar beliau.