Ummah desak kerajaan bertindak lebih tegas

Peserta-peserta yang menberikan sokongan di Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, hari ini.
Peserta-peserta yang menberikan sokongan di Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu himpunan lebih besar akan diadakan sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan tegas dalam isu penghinaan terhadap Nabi, Islam serta raja-raja Melayu.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya buat masa ini sedang menunggu tindak balas kerajaan berkenaan isu yang mengguris perasaan umat Islam dan Melayu itu.

"Jika kami melihat kerajaan gagal ambil tindakan sepatutnya, kami akan adakan himpunan lebih besar daripada Himpunan Bantah ICERD. Kami tunggu tindak balas kerajaan.

"Jika kerajaan masih lemah dalam melindungi hak orang Islam, kami akan berhimpun. Tetapi harapnya sebelum kami berhimpun, kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada media selepas Himpunan Aman Ancaman Kepada Kedaulatan Islam di Masjid Negara, hari ini.

Mengulas mengenai himpunan anjuran Ummah itu hari ini, Kamaruzaman berkata, ia bagi membangkitkan kesedaran umat Islam terhadap ancaman yang sedang melanda negara ketika ini.

No Image Caption

"Isu paling besar ialah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, agama Islam serta raja-raja Melayu. Penghinaan ini berlaku dengan rancak seolah-olah sedang dirancang dan mendapat perlindungan.

"Tindakan pula begitu lemah di mana hanya segelintir kecil didakwa dengan kesalahan yang amat ringan, sedangkan kesalahan ini sangat berat dan menghina Perlembagaan. Jadi, himpunan ini sebagai isyarat kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar tidak berlembut dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menjaga hal ehwal agama disarankan meletakkan jawatan jika gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Selain menyatakan bantahan terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW, himpunan juga menuntut keadilan dalam kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassin serta bantahan kepada pemansuhan hukuman mati.

Himpunan di Masjid Negara dihadiri pemimpin UMNO dan Pas serta mendapat sokongan lebih 10 NGO. Ia turut diadakan serentak di pelbagai lokasi seluruh negara.