PM tak perlu bawa nama politik, sebaliknya fokus masalah rakyat

Noh (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil petugas pada Majlis Penutupan PPV IPP Tanjong Karang pada Ahad.
Noh (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil petugas pada Majlis Penutupan PPV IPP Tanjong Karang pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu membawa nama mana-mana parti politik sebaliknya mengambil langkah proaktif dan berkesan bagi menangani penularan Covid-19.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, secara peribadi beliau berpandangan nama parti diwakili tidak penting buat masa ini dalam keadaan negara berdepan krisis Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

"Bagi saya (bagaimana kerajaan tangani pandemik) itu lebih penting. Kalau nama atau muka sahaja cantik, tapi kalau tidak berkesan (menangani Covid-19) itu tidak bermakna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua pihak termasuk ahli Parlimen diminta memberi tumpuan terhadap usaha kerajaan baharu membangunkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat penularan wabak.

"Apa lebih penting ialah bagaimana kerajaan baharu dapat meyakinkan pelabur asing untuk melabur ke dalam negara kita dan menyelesaikan kemelut ekonomi.

"Covid-19 tak pilih siapa (untuk dijangkiti). Pada masa sekarang, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan kita mesti bekerjasama dalam satu pasukan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pentadbiran kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri masih berada di bawah Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, majoriti ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri adalah daripada gabungan PN, manakala Barisan Nasional (BN) seramai 41 ahli Parlimen.